PANGG!!!
“Opocot!
celaka sakit la bodoh! Eh ustaz. Maaf.”
“Bangun
subuh.”
“Baik
ustaz.”
Satu birat
kat belakang.
Subuh itu
macam biasa kami semua diwajibkan hadir ke surau tunaikan sembahyang berjemaah.
Kehidupan di asrama sekolah agama ni mengajar aku displin dalam ibadah. Dari
sunat hingga ke wajib. Terkadang aku menyirap dengan abah. Dia rock bukan main.
Buat pahala guna aku. Astagfirullah istiqhfar.
Semacam
perarakan, kami semua berjalan beramai-ramai menuju ke surau. Ada yang singgah
tandas hisap rokok. Aku junior. Kalau nak join kena minta lesen senior. Standard
sekolah asrama mana-mana. Tapi bestnya ada seorang senior ni yang paling
berpengaruh di sini cukup berkenan dengan aku. Iskandar Zulkarnain. Dari awal
aku masuk sekolah agama ni lagi dia lah yang jaga aku. Perwatakan dia sangat
tenang. Walaupun ketika mengetuai aktiviti fly. Jadi aku ada lesen besar untuk
join senior hisap rokok. Tapi aku tak hisap rokok. Abah aku yang rock tu tak
bagi.
“Muhammad
Asyraan Al-Hosnainn. Sini kejap.” Tiba-tiba terdengar suara Iskandar Zulkarnain
panggil aku dari dalam tandas. Nama aku memang style. Arab habis. Bin Leman je.
“Ye abang
Iskandar Zulkarnain.” Jawap aku.
“Hari ni
kau ganti aku jadi bilal. Aku sakit tekak.” Arah Iskandar Zulkarnain sambil
buat asap bentuk bulat.
Aku akur.
Aku lekas-lekas ke surau. Waktu dah nak masuk. Perkarangan surau sudah dipenuhi
dengan pelajar-pelajar asrama. Ada yang sempat berjubah berserban. Kebanyakkan
yang berjubah berserban subuh-subuh supie ni junior je. Aku yang ada kabel kuat
dengan senior ni pakai baju tidur je. Selesai ambil air sembahyang aku pun
ready pegang mic nak bang.
“Allahu....”
PANGG!!!
“Opocot!
celaka sakit la bodoh! Eh ustaz. Maaf. Kenapa?”
“Kau pergi
tukar baju!”
Dua birat
kat belakang.
Rupanya aku
pakai baju ada gambar tengkorak kat belakang. Iskandar Zulkarnain geleng
kepala. Dia terpaksa ambil balik tugas bilal subuh tu. Suara dia langsung tak
macam sakit tekak. Aku lari tukar baju kat asrama. Aku betul-betul tak perasan.
Yang peliknya diorang ni langsung tak tegur aku. Fikir pahala sendiri je.
Setibanya
di surau kembali, semua sudah berada dalam saf. Imam subuh tu Ismail Kadir.
Senior yang paling disegani di sekolah ni. Berbeza perwatakan dengan Iskandar
Zulkarnain. Iskandar Zulkarnain berpengaruh manakala Ismail Kadir disegani. Ye
ada beza. Disegani kerana memiliki hemah yang tinggi. Paling akur dengan
arahan. Manakala Iskandar Zulkarnain samseng asrama yang tak tinggal
sembahyang. Walau berbeza perwatakan, kedua-duanya senior yang paling
dipercayai ustaz warden asrama.
Hari itu
hari ahad. Hari dimana pelajar lelaki boleh outing. Namun disertakan dengan
syarat. 5 surah Al-Quran mesti dipenuhi dada. Macam-macam skill menghafal
dipamerkan. Ada yang berkumat-kumit kerut dahi. Ada yang sambil hentak kaki.
Ada yang bersila sambil henjut-henjut badan. Dan ada yang tenang baca Mastika
iaitu Iskandar Zulkarnain.
“Abang
Iskandar Zulkarnain, abang macam rilek je? Mesti 30 juzuk dalam dada kan?” Soal
aku.
Iskandar
Zulkarnain tengok aku. Dicampaknya Mastika ketepi lalu terjun dari katil double
deckernya.
“Jom teman
aku pergi tandas.” Kata Iskandar Zulkarnain.
Sekali lagi
aku akur. Dalam perjalanan ke tandas, Iskandar Zulkarnain sempat tegur aku suruh
tinggalkan Al-Quran kat bilik. Tak boleh bawa masuk Al-Quran dalam tandas
katanya.
Iskandar
Zulkarnain macam biasa terus on rokok. Tenang sambil buat asap bentuk bulat.
“Aku ada plan
dan mahu kau terlibat.” Kata Iskandar Zulkarnain. Matanya terkebil-kebil
menahan lebihan asap rokok masuk mata.
“Plan apa
abang Iskandar Zulkarnain?” Soal aku minta kepastian.
“Macam ni.
Aku plan nak masuk asrama perempuan time outing nanti.” Jelas Iskandar
Zulkarnain tenang.
“Hah? Nak
buat apa?” Soal aku agak terkejut.
Seperti
mana-mana sekolah asrama, pelajar lelaki diharamkan masuk ke kawasan asrama
pelajar perempuan. Tambahan pula sekolah agama. Masa outing pun minggu ni
lelaki minggu depan perempuan. Gilir-gilir. Hubungan antara pelajar lelaki dan
perempuan disini memang terbatas teruk. Peratus untuk berselisih ketika diluar
waktu kelas sangatlah tipis.
Iskandar
Zulkarnain senyap lebih kurang 20 saat.
“Kau tolong
cover line je. Yang lain kau tak perlu tahu.” Jawap Iskandar Zulkarnain.
Aku macam
sedih. Patutnya minggu outing ni aku nak pergi main game dekat pasaraya. Disebabkan
masuk sekolah agama ni secara bukan sukarela, seminggu bagaikan setahun
lamanya. Kalau dua minggu (minggu depan turn pelajar perempuan), rasa macam dua
tahun lah.
Selesai
habis rokok sebatang, Iskandar Zulkarnain kumur bersungguh-sungguh. Sabun
tangan, calit minyak attar kat baju dan kembali ke bilik sambung baca Mastika.
Aku pula berjalan perlahan-lahan balik ke bilik sambil mengintai bilik
pelajar-pelajar nak keluar outing mempersembahkan hafazan mereka. Mereka
diadili oleh Ismail Kadir, senior yang disegani mewakili ustaz, warden asrama.
Jam pukul sembilan
pagi. Aku letak Quran bawah bantal dan baring. Alang-alang tak keluar outing
baik aku tidur. Baru nak lelap tiba-tiba,
“Assalamualaikum,
ustaz pesan pada saya semua kena turun untuk hafazan tak kira yang mahu keluar
outing atau tidak sebelum pukul 11.” Umum Ismail Kadir.
Aku terus
gelabah. Aku baru lepas Alif Lam Mim je. Berbirat lagi la badan aku kena rotan
macam ni.
“Ismail
Kadirrrr.....” Tiba-tiba bergempita suara Iskandar Zulkarnain menyeru nama
Ismail Kadir.
“Ye saya.”
Jawap Ismail Kadir yang baru nak keluar bilik.
“Bagi aku
separuh budak-budak. Aku tolong kau pantau hafazan mereka di dorm.” Kata
Iskandar Zulkarnain sambil baring dan menghadap Mastika.
“Terima
kasih sahabat.” Kata Ismail Kadir berterima kasih.
Aku lega
bukan kepalang bila ada kabel macam ni. Iskandar Zulkarnain usha aku senyum
sambil kenyit mata.
“Nasib baik
ada abang Iskadar Zulkarnain. Kalau tidak berbirat lagi la badan saya.” Kata
aku.
“Kau turun
pergi buat hafazan kat Ismail Kadir.” Kata Iskandar Zulkarnain selamba.
“Eh, kenapa
abang Iskandar Zulkarnain?” Soal aku minta kepastian.
“Kau kan
memang tak keluar outing. Bagi la can kat budak-budak yang nak keluar tapi tak
dapat hafal duduk bawah aku.” Jawap Iskandar Zulkarnain.
Maka aku
pun pergi menghadap Ismail Kadir sambil berdoa ustaz tak ada. Okay. Ustaz kat
sebelah Ismail Kadir je dalam bilik tempat hafazan tu. Ustaz warden asrama ni
dia ada habit ajar orang mengaji sambil libas lantai. Bila salah tajwid ke apa
ke dia libas lantai. Nampak macam slow. Tapi bunyi macam guruh. Tak sakit pada
kulit tapi bergetar pada jiwa. Ia sangat lah psiko. Sampai turn aku.
“Bismillah...”
“Ustaz!
Muhammad Nizamudddin Mazlan kena sampuk!” Tiba-tiba muncul Mutalib Uthman di
muka pintu.
“Yes! You
my hero!” Jerit aku dalam hati.
Semua
bergegas ke tempat kejadian. Peristiwa mistik macam ni memang kerap berlaku di
asrama sekolah agama. Kadang-kadang sebulan sekali. Kadang-kadang sebulan dua
kali. Kalau cerita nampak hantu tu tak payah cakaplah. Hari-hari boleh dengar.
Biasalah dugaan orang yang nak belajar agama. Dengar cerita setan je yang
syaitan ni malas nak kacau.
Setibanya di
tempat kejadian, kelihatan Muhammad Nizamuddin Mazlan berada atas pokok kelapa.
Tinggi juga. Dipeluknya pokok kelapa sambil buat bunyi monyet. Di bawah pokok
ada Iskandar Zulkarnain dan budak-budak hafazan dibawah naungannya. Ustaz terus
mendapatkan Iskandar Zulkarnain.
“Macam mana
boleh jadi macam ni Iskandar Zulkarnain?” Soal ustaz tenang sambil berpeluk
tubuh.
“Saya pun
tak berapa pasti ustaz. Sedang saya sibuk dengan hafazan, tiba-tiba kelihatan
kelibat Muhammad Nizamuddin Mazlan berlari diluar koridor dorm. Saya pun terus
mengikuti dia sampai ke sini.” Terang Iskandar Zulkarnain sambil berpeluk tubuh
dan tenang juga.
Dalam pada
itu, Ismail Kadir merapati pokok kelapa dan memujuk Muhammad Nizamuddin Mazlan
turun. Aku dan lain-lain mengelilingi pokok kelapa tersebut. Ada diantara kami
memegang Al-Quran. Termasuklah aku.
“Ismail
Kadir...” Panggil ustaz lembut.
Ismail
Kadir terus berhenti memujuk dan kebelakang sedikit. Ustaz mula berkumat-kamit
baca sesuatu lantas menepuk pangkal batang pokok kelapa. Muhammad Nizamuddin
Mazlan terus kelihatan longlai lalu rebah kebawah.
ZAASS!!!
Iskandar
Zulkarnain bertindak pantas menyambut Muhammad Nizamuddin Mazlan dengan penuh
bergaya. Semua yang menyaksikan kejadian itu kagum dengan tindakan refleksi
Iskandar Zulkarnain. Semua tahu Iskandar Zulkarnain memang handal dalam ilmu
persilatan. Tetapi inilah kali pertama kami semua dapat melihat sedikit
skillnya.
“Bawa dia
ke bilik hafazan. Yang lain bersurai dan boleh keluar outing. Jangan lupa
tandatangan buku senarai pelajar sebelum keluar.” Perintah ustaz.
Aku
bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan insiden ini aku dapat keluar outing.
Yang mana belum sempat dengan hafazan turut memanjatkan kesyukuran.
“Muhammad
Asyraan Al-Hosnainn, sini tolong angkat Muhammad Nizamuddin Mazlan ni.” Perintah
Iskandar Zulkarnain tiba-tiba.
Berat mata
membaca, berat lagi bahu memikul. Namun dengan jiwa yang kental, aku menurut.
Aku, Iskandar Zulkarnain dan Ismail Kadir mengangkat Muhammad Nizamuddin Mazlan
menuju ke bilik hafazan. Ustaz di depan dengan kedua-dua belah tangannya di
belakang.
Setibanya
di bilik hafazan, Muhammad Nizamuddin Mazlan dibaringkan di atas lantai. Sekali
lagi ustaz kelihatan membaca sesuatu ke arah semangkuk air. Air tersebut
kemudiannya disapu ke muka Muhammad Nizamuddin Mazlan. Dia mulai sedar. Aku
merenung ke luar tingkap. Sayup kelihatan kelibat pelajar-pelajar lain berbaju
batik siap bersongkok menuju kearah pintu keluar asrama. Ada pelajar dijemput
ibubapa, ada yang terus menuju ke bus stop dan ada juga yang berduit lebih naik
teksi iaitu Mutalib Uthman. Aku terbayangkan kehidupan diluar asrama. Main
game, KFC, MacDonald, tengok perempuan tanpa aurat dan sebagainya.
“Muhammad
Asyraan Al-Hosnainn, awak pergi ke bilik saya dapatkan nombor telefon keluarga
Muhammad Nizamuddin Mazlan dalam buku senarai pelajar.” Arah ustaz menghentikan
lamunan aku.
“Baiklah!”
Kata aku.
Aku terus
menuju ke bilik ustaz. Jadi macam seram juga bila tak ada orang. Tambah-tambah
lepas lalui perkara mistik. Al-Quran masih aku genggam erat. Bilik ustaz kat
asrama ni tak besar mana. Cukup sekadar satu meja dan tiga kerusi plastik. Aku
terus dapatkan buku senarai pelajar. Buku senarai pelajar itu jugalah digunakan
sebagai buku tandatangan pelajar keluar masuk asrama. Nampaknya minggu ini
semua pelajar keluar outing. Hanya nama aku, Iskandar Zulkarnain, Ismail Kadir
dan Muhammad Nizamuddin Mazlan sahaja belum ditandatangan untuk keluar outing.
Disebabkan
jarang mendapat peluang bersendirian di dalam bilik ustaz, terlintas perkara
jahat. Aku mengambil kesempatan yang ada mendapatkan nombor telefon Siti Balqis
Zulaikha. Siti Balqis Zulaikha merupakan pelajar junior batch aku. Matanya begitu
memukau, hidungnya comel cantik terletak, bibirnya ke-pink-pink-an, dagunya
berlekuk dan jari-jemarinya halus sangat. Hanya itu sahajalah ciri-ciri paras
rupa pelajar perempuan sekolah agama yang boleh dilihat dengan mata kasar. Yang
lain-lain tertutup. Syukur alhamdulillah.
“Lamanya?”
“Opocot!
celaka terkejut aku! Eh, abang Iskandar Zulkarnain.” Dengan tidak semena-mena
muncul Iskandar Zulkarnain. Aku lantas buat-buat cari nama Muhammad Nizamuddin
Mazlan.
“Ni ha
nombornya. Jom abang Iskandar Zulkarnain.” Kata aku alih perhatian.
“Tak apa.
Bapak dia dah sampai pun. Ada budak lain dah call bapak dia.” Kata Iskandar
Zulkarnain.
“Oh...
Abang Iskandar Zulkarnain tadi power lah. Laju je abang sam...”
“Jangan
lupa plan aku pagi tadi. Jumpa kat belakang dewan makan lepas zohor nanti.”
Kata Iskandar Zulkarnain memotong pujian aku.
Zohor tu
aku sembahyang kat dorm je. Sunyi. Tak ada sesiapa. Iskandar Zulkarnain last
aku jumpa masa di bilik ustaz. Mungkin dia survey jalan menyelinap ke asrama
perempuan, atau mungkin dia lepak tandas hisap rokok, atau kemungkinan kecil
dia beriktikaf di surau. Masa yang dijanjikan sudah tiba. Aku berpakaian agak gelap.
Seluar track-suit dan baju hitam gambar tengkorak subuh tadi. Jantung aku mula
berdegup laju. Perut pula rasa macam memulas nak terberak tapi sebenarnya tak. Ini
merupakan kali kedua aku rasa benda paling jahat budak sekolah agama macam aku
ni buat. Kali pertama dulu masa ponteng sembahyang Jumaat dengan Mutalib
Uthman. Tapi lepas tu aku nyorok-nyorok qada sembahyang zohor sebab tak nak
bagi orang tahu yang aku ponteng sembahyang Jumaat.
“Lama abang
Iskandar Zulkarnain tunggu?” Soal aku sedikit terlewat.
“Baru lagi.
Jom ikut aku.” Kata Iskandar Zulkarnain.
Muka
Iskandar Zulkarnain seperti biasa masih tenang. Aku pula macam mawas gelabah.
Iskandar Zulkarnain membawa aku menuju ke hujung tembok yang memisahkan asrama lelaki
dan asrama perempuan. Di situ keadaan agak sunyi dan semak. Dipenuhi
pokok-pokok pisang tua yang dah pernah berbuah.
“Kau tunggu
sini. Biar aku seorang je masuk. Ingat, kalau ada benda yang mencurigakan, kau
tendang pokok pisang ni bagi bunyi sekali lepas tu kau lari menyorok. Lari tu
jangan bagi ada bunyi. Paham?” Arah Iskandar Zulkarnain sedikit bisik.
Aku angguk
lantas berdoa.
“Ya Allah,
Kau lindungilah aku dan abang Iskandar Zulkarnain dari segala musibah.
Sesungguhnya kami berdua insan yang lemah.”
“Amin.”
Iskandar Zulkarnain mengaminkan doa aku.
Dengan dua
loncatan sepantas tiga saat, Iskandar Zulkarnain sudah pun berada di tembok
sebelah. Aku ternganga. Tak dapat nak bayangkan apa lah nasib musuh ditangan
Iskandar Zulkarnain ni. Hebat sangat-sangat dia ni.
“Assakamualaikum.
Siti Balqis Zulaikha dah lama tunggu?” Terdengar suara Iskandar Zulkarnain
disebalik tembok.
Aku
terkesima. Hati aku sedikit hancur. Wanita pilihan hati rupa-rupanya sudah
dimilik orang lain. Dan orang lain itu ialah Iskandar Zulkarnain. Mana mungkin
aku jadi musuh atau pesaing Iskandar Zulkarnain selepas melihat aksi-aksinya
tadi. Aku makin ligat pasang telinga.
“Waalaikumsalam.
Baru je lagi abang Iskandar Zulkarnain.” Jawap wanita pilihan hati yang kini
milik orang.
“Anak-anak
sihat?” Soal Iskandar Zulkarnain.
Hah? Anak? Astagfirullahaladzim.
Tersandar aku pada batang pokok pisang. Hormat aku pada Iskandar Zulkarnain
pudar. Aku terus menerus pasang telinga sambil berjaga-jaga. Amanah yang
dipertangungjawapkan harus diteruskan biar luka menikam jiwa.
MEOW...MEOW...
“Hehe...Asyik
merengek je.” Jawap wanita pilihan hati yang kini milik orang.
“Fuh...
Anak kucing rupanya...” Bisik aku dalam hati sambil menampar batang pokok
pisang tanda lega.
Pokok
pisang bergoyang.
“Siapa
tu?!” Terdengar suara ustaz dari dewan makan.
Aku
terkejut lantas teringat pesan Iskandar Zulkarnain. Aku kena bagi amaran kepada
Iskandar Zulkarnain. Aku terus tendang pokok pisang kuat-kuat nak bagi bunyi.
Akibat terlalu gelabah, pokok pisang yang aku tendang tumbang. Aku lari selaju mungkin. Tiba-tiba ada tangan
menarik aku ke suatu bilik.
“Abang
Ismail Kadir?”
“Shhh...
Senyap.” Kata Ismail kadir.
Aku akur.
Kami mengintai apalah nasib Iskandar Zulkarnain. Menggunakan skill tadi,
Iskandar Zulkarnain meloncat kembali ke tembok sebelah sini. Malangnya ustaz
adalah ustaz Iskandar Zulkarnain dan juga merangkap guru silatnya. Iskandar
Zulkarnain tertangkap. Aku berasa salah yang amat. Perbuatan tidak sengaja aku
menampar pokok pisang mengundang kehadiran ustaz. Dengan rasa bertanggungjawap,
aku mahu bersama-sama Iskandar Zulkarnain menjalani hukuman yang bakal ditimpa.
Ya, tidak lain dan tidak bukan ialah buang sekolah mandatori. Menyedari
tindakan aku mahu menyerah diri, Ismail Kadir terus menghalang.
“Saya
percaya Iskandar Zulkarnain juga tidak mahu kamu tertangkap. Patuhilah arahan
saya.” Kata Ismail Kadir.
.........
......
....
..
.
“Aku
tunduk. Bukan sahaja aku, malah Siti Balqis Zulaikha juga tidak dipetiknya.
Begitulah serba sedikit pengalaman aku bersama Iskandar Zulkarnain, legend
sekolah agama kita ni.” Terang aku panjang lebar kepada junior-junior baru sambil
mengusap kepala kucing.
Aku
sekarang senior tahun akhir sekolah agama ini. Memandangkan aku generasi akhir
yang berkesempatan berdamping dengan Iskandar Zulkarnain, maka akulah orang
yang paling layak bertanggungjawap menurunkan kisah ke-legend-an Iskandar
Zulkarnain kepada junior baru agar generasi akan datang sekolah agama ini terus
menerus mengagumi beliau.
“Assalamualaikum,
ustaz pesan pada saya semua kena turun untuk hafazan tak kira yang mahu keluar
outing atau tidak sebelum pukul 11.” Umum Mutalib Uthman tiba-tiba.
“Mutalib
Uthmannn.....” Bergempita suara aku menyeru nama Mutalib Uthman.
“Ye saya.” Jawap
Mutalib Uthman yang baru nak keluar bilik.
“Bagi aku
separuh budak-budak. Aku tolong kau pantau hafazan diorang dekat dorm.” Kata aku
sambil baring dan menghadap Mastika peninggalan Iskandar Zulkarnain.
Tamat.