Isnin, 30 Disember 2013

Jalan

Bila sudah terhantuk, rasa sakitnya ya amat. Kena terus berjalan. Banyak perkara yang menggembirakan aku dalam setahun dua ni. Isteri, anak.

Dalam masa gembira, sakit yang aku lalu sendiri amat perit. Bukan tak mahu kongsi. Ini jalan aku. Jalan yang penuh kegembiraan, namun punya luka kecil yang bisa.

Dan untuk bagi kamu tersenyum melihat aku senyum, aku rela menangis dalam mimpi.

Sabtu, 23 November 2013

Tentang Anak.

Alhamdulillah. Syukur Allah diatas kurnia dah rahmatnya. Pejam celik pejam celik sudah kahwin. Pejam celik pejam celik sudah dapat anak.

Hospital Besar Ipoh bagi kelepasan kepada suami teman isteri sepanjang tempoh berada di labour room dengan peraturan-peraturan yang perlu diakur. Pengalamannya amat la mendebarkan. Bagi aku cerita sikit.

Hari selasa (12/11/13) lebih kurang jam 9.30 malam aku dikejutkan dengan panggilan telifon daripada wife aku di Ipoh. Dia cakap aku tak payah la gi kerja malam tu. Dia macam rasa sakit nak beranak. Aku pun terus meloncat dari katil. Gelabah entah apa-apa. Packing barang, call kawan sekerja bagitahu aku tak boleh join gi site malam tu.

Dalam pukul 10 macam tu aku bertolak dari Kolumpo ke Ipoh. 11.30 malam aku sampai hospital bersama saman AES. Aku dah tak peduli. Sampai hospital ada mak abah, adik, ibu ayah mertua, adik ipar dan pak dengan mak sedara. Memang ramai. Wife aku merupakan anak sulung merangkap cucu sulung. Jadi anak yang bakal lahir secara tak langsung akan jadi sulunggg. Semua yang berkaitan pasti akan teruja.

Kami semua tunggu penuh debar. Dalam pukul 2 pagi,(13/11/13) wife aku keluar. Dia cakap doktor suruh balik. Tak bukak lagi. Kita orang macam, haa??? ok. Aku, isteri dan ibu ayah mertua bercadang balik ke kampung Manjoi. Rumah opah belah ayah mertua. Dekat sikit dengan hospital kalau jadi apa-apa. Sampai rumah aku layan cerita Pirate Of Carribien dekat astro. Elok habis cerita, dalam pukul 5 pagi wife aku mengeluh sakit lagi. Kita orang pun terus bergegas ke hospital balik.

Sampai hospital doktor check cakap dah bukak 3cm. Pastu datang doktor lain seluk lagi cakap bukak 1cm pulak. Pastu datang doktor lain lagi cakap bukak 1.5cm pulak. Aku tanpa pikir panjang terus double chopslam doktor yang suruh balik dengan doktor yang seluk cakap bukak 3cm ni atas table. 

Wife aku ditempatkan dalam bilik ABC. Bilik ABC ni khas untuk yang baru bukak sikit-sikit atau kalau labour room penuh. Waktu ni kami yang menunggu dekat luar macam tak tahu nak kemana. Nak gi minum takut tetiba nurse cari. Dekat luar bilik bersalin ada macam skrin digital bagitahu nama-nama ibu mengandung yang dah bersalin atau belum bersalin. Pada mulanya kami semua percaya dengan skrin tu walaupun nama wife aku belum lagi diorang update. Rupanya sampai wife aku boleh discharge diorang tak update. Entah-entah nama yang naik dekat skrin digital tu 2-3 tahun lepas punya nama. Tapi tak ada siapa pun yang marah sebab dapat anak ni dia punya happy lain macam. 

Dalam pukul 2 petang (13/11/13), ada seorang nurse menjerit kat luar wad bersalin bagitahu sesiapa yang nak jumpa isteri sila jumpa dia. Aku dan beberapa suami lain yang baik terus pergi dekat nurse tu. Kami diberi satu surat perjanjian yang perlu ditandatangan. Aku tandatangan terus tanpa baca. Aku dan beberapa suami lain yang baik diberi baju ala doktor bilik pembedahan untuk dipakai. Setelah diberi briefing, kami dihantar ke labour room isteri masing-masing. 

Amboi penatnya aku bercerita.

Sambung...

Wife aku kena masuk ubat bagi paksa bukak. Riak wajah wife aku menggambarkan betapa sakitnya dia waktu tu. Tiap 5 minit sekali sakit dalam 30 saat. Sementara tu nurse pegang perut wife aku check pergerakan baby. Oh, sebelum aku masuk doktor dah pun pecahkan air ketumban wife aku. Wife aku banyak air ketumban. Dalam 1.3 liter juga yang keluar nurse bagitahu. Bahayanya air ketumban berlebihan ni boleh menyebabkan baby berpusing balik jadi songsang. Lepas tu boleh menyebabkan bayi terjerut tali pusat. Aku layan wife aku sakit sampai pukul 7 malam. Lepas tu aku keluar gi cari makan. 

Dalam pukul 9 malam aku masuk balik. Masa ni dos ubat dinaikkan. 30 saat sakit, 30 saat tak sakit. Dah bukak 7cm kata nurse. Nurse cakap doktor akan check balik dalam pukul 12 malam. Kesian wife aku. Aku sampai terfikir yang bukan-bukan. Lebih kurang pukul 11.15 malam, wife aku macam tak tahan sangat aku terus panggil nurse kat luar bilik. Nurse bagitahu doktor. Time tu doktor pun datang nak seluk tengok berapa cm dah buka bukak. Aku kena keluar setiap kali doktor nak seluk. Aku lepak luar pintu bilik. Aku dilarang meliarkan mata meninjau bilik-bilik lain. Jadi aku kena menghadap dinding. Ni salah satu peraturan yang aku tandatangan tadi sebenarnya. Bagi menjaga privacy ibu-ibu lain yang nak bersalin.

Dalam pukul 11.30 malam aku dengar nurse cakap panggil husband dia masuk. Dah bukak 10cm. Aku pun masuk. Nurse tu tengok muka aku. Dia cakap aku macam takut. Aku akui. Nurse suruh keluar. Nanti dah bersalin diorang panggil. Serius aku takut plus tak boleh tengok darah banyak plus tak cukup tidur. Aku bagitahu kat wife aku sambil cium dahi dia minta maaf. 

Keluar dari bilik bersalin, aku join mak abah, ibu ayah mertua semua gelisah. Abah aku senyum. Dia tahu aku mesti tak tahan sebab dia pun takut darah. Dah pukul 1 pagi (14/11/13), aku pergi kat kaunter nurse tanya apa cerita. Nurse bagitahu isteri aku dah bersalin. Kejap lagi diorang panggil masuk. Aku sujud syukur.

Hati aku masih tak tenteram sebenarnya. Dah bersalin tapi selamat ke? Aku kehulur kehilir berjalan tak senang duduk. Lama. Dalam pukul 2.30 pagi aku pergi balik kat kaunter nurse. Nurse terus suruh aku masuk. Mula-mula tengok baby. Baby ditempatkan dalam satu bilik khas. Dari luar aku dah perasan dan dapat rasa yang aku tengok tu anak aku. Tapi kenapa cerah sangat? Tapi yang lain-lain macam gelap. Masuk je bilik tu nurse tunjuk anak aku. Memang yang aku target. Besar anak aku. 3.9kg. Lelaki. Senyum aku bersungguh-sungguh. Aku azankan anak aku. Lepas tu nurse bawak aku gi tengok wife aku. Wife aku macam dibawah paras sedar. Suara pun lain macam. Bleeding banyak. Kena masuk darah. Sekejap je aku boleh tengok. Nurse suruh keluar.

Dipendekkan cerita, dalam pukul 7 pagi baru wife aku boleh keluar dari labour room pergi ke wad bersalin. Di wad bersalin doktor masukkan lagi 2 pain darah. Hari sabtu (16/11/13), baru wife dan anak aku dibenarkan balik.




Muhammad Khalish Ilman. 0024, 14 November 2013 bersamaan 10 Muharram 1435 Hijrah. 3.9kg. 



Sekarang aku, wife, mak abah, ibu ayah mertua, adik beradik, ipar, pak mak sedara, opah atok semua tengah happy dengan anak ini. 

Selamat datang anak. Aku ni papa kamu. Yang baik-baik aku cuba sampaikan.



Khamis, 7 November 2013

Laju

Akan sampai masa hang akan benci dengan putaran jarum saat.

Sabtu, 26 Oktober 2013

matahari ahad

menangis dalam diam. 
senyuman kosong.
tidak jujur tetapi perlahan-lahan menafikan.
dan aku pencuri. 
untuk kepentingan sendiri.
semua detik-detik bermakna bagi kau aku rampas.

melihat angan-angan.
teragak-agak.

kau sering berharap aku tahu yang kau tak okay.
tapi aku bodoh
dan kau berlalu pergi.
pada ketika itu baru aku sedar akan kesilapan. 

dan jika aku melukai kau, jika aku mencederakan kau,
parut itu akan kekal milik aku.
sebab aku cintakan kau.
dan kehilangan kau, 
adalah lebih teruk dari mati.

bagaimanakah aku boleh jadi begitu buta membiarkan kau terluka.
adakah sudah terlewat untuk menyembuhkan kau dan membetulkan kembali keadaan?
sebab sudah tak ada lagi matahari pada hari ahad.
tiada alasan lagi untuk melagukan perkataan.
sebab jika kau terluka, aku juga terluka.

Jumaat, 27 September 2013

Pagi buat Isteri dan Bayi

Jam pukul 2 pagi.
Jam ini aku sendiri.
Hanya jasad di katil sepi.
Jiwa bersama Sang Isteri.
Yang berperang dikatil denggi.

Wahai bayi dikandung isteri.
Kekal berdenyut menyambut pagi.
Kerana hujan bakal berhenti.
Datang pelangi lalu mewarnai.
Kupanjatkan doa pada Ilahi.

Jumaat, 20 September 2013

Qiblat

Ditabir dosa aku menyinggah. Gagah diteruskan walau tahu ia salah. Memilih jalan gelap lalu berharap kata-kata berserah.

Lantas akur pada takdir. Bermusibah. Takdir... Hati retak. Takdir... Punah, ranab, celaka. Takdir...

Ya...kenapa tak dibunuh sahaja diri lantas jawap takdir pada Mungkar, jawap ketentuan pada Nangkir?

Mengucap, istiqfar... Qiblat rumahmu pun sudah lama tak diarah.  Atau...barangkali sudah lupa arah? Ini parah...

Isnin, 26 Ogos 2013

Ipoh Dah Besar

Masa tu Ipoh kecil lagi. 
Dalam beberapa depa. 
Nak kemana-mana naik basikal sahaja. 
Sekarang Ipoh dah besar. 
Ke kedai depan pun naik motokar.

Ipoh dah besar...

Sabtu, 24 Ogos 2013

Mati

 Aku menghidap barah otak. Kata doktor tempoh hayat aku ketika diperiksa tempoh hari berbaki 15 hari. Hari ini tinggal 4 hari sahaja lagi. Aku mengambil keputusan keluar dari hospital. Tidak mahu habiskan sisa hidup dihospital. Buat apa diujikaji lagi kalau sudah tahu penghujungnya mati.

 Tenang melihat hidupan kota lumpur yang lain. Masing-masing dengan jalan hidup tersendiri. Masing-masing punya tulisan didiari. Aku berjalan keluar hospital dengan tujuan menghabis tempoh di tempat-tempat penuh erti. Ditanganku ada senaskah diari. Masih baru. Khas untuk 4 hari. Ini misi untuk 4 hari berbaki.

8/12/2013
Kuala Lumpur.
Macam biasa.
Seperti hari-hari sebelum.
Penuh kejutan gila.
Hari ini jumpa jalan, esok ada jambatan.
Hari ini ada jambatan, esok ada bangunan.
Hari ini ada bangunan, esok ada pergolakkan.
Dan hari ini ada pergolakkan, pecah segala ketamadunan.
Di simpang siur kehidupan penuh pancaroba,
aku menumpang tubuh tak berjiwa.
Menunggu waktu malaikat tiba.
Diambil nyawa dihitung segala.

9/12/2013
Ipoh
Baunya tetap sama.
1990 baru ku kenal dunia.
Dilombong di sungai ku kenal bahaya.
Disini dilatih mengenal dunia.
Disini diajar alif ba ta.
Disini kutembak cinta mengena.
Disini kutinggal zuriat pertama.

Hari ini hari ke 5. Ya. Ajal maut ditangan Tuhan. Kata doktor boleh jadi tepat, boleh jadi tidak. Kalau tepat boleh la ditambah kebetulan dalam ramalannya. Melihat anakku merengek disamping isteri. Memikirkan tentang isteri dan anak yang terpaksa lalui hidup tanpa aku selepas ini. Sayu. Mereka berdua dikubur. Ditangan isteriku tergenggam diari milikku. Aku sudah 3 hari mati.

10/12/2013.
Bukit Mertajam
Hari ni ku lemah.
Disini ku menjelma 27 tahun lepas.
Ya.
Tarikh ini.
Wajah aku makin pucat.
Tuhan tolonglah.
Satu hari lagi.





Iskandar Zulkarnain

PANGG!!!
“Opocot! celaka sakit la bodoh! Eh ustaz. Maaf.”
“Bangun subuh.”
“Baik ustaz.”
Satu birat kat belakang.
      
Subuh itu macam biasa kami semua diwajibkan hadir ke surau tunaikan sembahyang berjemaah. Kehidupan di asrama sekolah agama ni mengajar aku displin dalam ibadah. Dari sunat hingga ke wajib. Terkadang aku menyirap dengan abah. Dia rock bukan main. Buat pahala guna aku. Astagfirullah istiqhfar.
    
Semacam perarakan, kami semua berjalan beramai-ramai menuju ke surau. Ada yang singgah tandas hisap rokok. Aku junior. Kalau nak join kena minta lesen senior. Standard sekolah asrama mana-mana. Tapi bestnya ada seorang senior ni yang paling berpengaruh di sini cukup berkenan dengan aku. Iskandar Zulkarnain. Dari awal aku masuk sekolah agama ni lagi dia lah yang jaga aku. Perwatakan dia sangat tenang. Walaupun ketika mengetuai aktiviti fly. Jadi aku ada lesen besar untuk join senior hisap rokok. Tapi aku tak hisap rokok. Abah aku yang rock tu tak bagi.

“Muhammad Asyraan Al-Hosnainn. Sini kejap.” Tiba-tiba terdengar suara Iskandar Zulkarnain panggil aku dari dalam tandas. Nama aku memang style. Arab habis. Bin Leman je.
“Ye abang Iskandar Zulkarnain.” Jawap aku.
“Hari ni kau ganti aku jadi bilal. Aku sakit tekak.” Arah Iskandar Zulkarnain sambil buat asap bentuk bulat.

Aku akur. Aku lekas-lekas ke surau. Waktu dah nak masuk. Perkarangan surau sudah dipenuhi dengan pelajar-pelajar asrama. Ada yang sempat berjubah berserban. Kebanyakkan yang berjubah berserban subuh-subuh supie ni junior je. Aku yang ada kabel kuat dengan senior ni pakai baju tidur je. Selesai ambil air sembahyang aku pun ready pegang mic nak bang.

“Allahu....”
PANGG!!!
“Opocot! celaka sakit la bodoh! Eh ustaz. Maaf. Kenapa?”
“Kau pergi tukar baju!”
Dua birat kat belakang.

Rupanya aku pakai baju ada gambar tengkorak kat belakang. Iskandar Zulkarnain geleng kepala. Dia terpaksa ambil balik tugas bilal subuh tu. Suara dia langsung tak macam sakit tekak. Aku lari tukar baju kat asrama. Aku betul-betul tak perasan. Yang peliknya diorang ni langsung tak tegur aku. Fikir pahala sendiri je.

Setibanya di surau kembali, semua sudah berada dalam saf. Imam subuh tu Ismail Kadir. Senior yang paling disegani di sekolah ni. Berbeza perwatakan dengan Iskandar Zulkarnain. Iskandar Zulkarnain berpengaruh manakala Ismail Kadir disegani. Ye ada beza. Disegani kerana memiliki hemah yang tinggi. Paling akur dengan arahan. Manakala Iskandar Zulkarnain samseng asrama yang tak tinggal sembahyang. Walau berbeza perwatakan, kedua-duanya senior yang paling dipercayai ustaz warden asrama.

Hari itu hari ahad. Hari dimana pelajar lelaki boleh outing. Namun disertakan dengan syarat. 5 surah Al-Quran mesti dipenuhi dada. Macam-macam skill menghafal dipamerkan. Ada yang berkumat-kumit kerut dahi. Ada yang sambil hentak kaki. Ada yang bersila sambil henjut-henjut badan. Dan ada yang tenang baca Mastika iaitu Iskandar Zulkarnain.

“Abang Iskandar Zulkarnain, abang macam rilek je? Mesti 30 juzuk dalam dada kan?” Soal aku.

Iskandar Zulkarnain tengok aku. Dicampaknya Mastika ketepi lalu terjun dari katil double deckernya.

“Jom teman aku pergi tandas.” Kata Iskandar Zulkarnain.

Sekali lagi aku akur. Dalam perjalanan ke tandas, Iskandar Zulkarnain sempat tegur aku suruh tinggalkan Al-Quran kat bilik. Tak boleh bawa masuk Al-Quran dalam tandas katanya.

Iskandar Zulkarnain macam biasa terus on rokok. Tenang sambil buat asap bentuk bulat.

“Aku ada plan dan mahu kau terlibat.” Kata Iskandar Zulkarnain. Matanya terkebil-kebil menahan lebihan asap rokok masuk mata.

“Plan apa abang Iskandar Zulkarnain?” Soal aku minta kepastian.

“Macam ni. Aku plan nak masuk asrama perempuan time outing nanti.” Jelas Iskandar Zulkarnain tenang.

“Hah? Nak buat apa?” Soal aku agak terkejut.

Seperti mana-mana sekolah asrama, pelajar lelaki diharamkan masuk ke kawasan asrama pelajar perempuan. Tambahan pula sekolah agama. Masa outing pun minggu ni lelaki minggu depan perempuan. Gilir-gilir. Hubungan antara pelajar lelaki dan perempuan disini memang terbatas teruk. Peratus untuk berselisih ketika diluar waktu kelas sangatlah tipis.

Iskandar Zulkarnain senyap lebih kurang 20 saat.

“Kau tolong cover line je. Yang lain kau tak perlu tahu.” Jawap Iskandar Zulkarnain.

Aku macam sedih. Patutnya minggu outing ni aku nak pergi main game dekat pasaraya. Disebabkan masuk sekolah agama ni secara bukan sukarela, seminggu bagaikan setahun lamanya. Kalau dua minggu (minggu depan turn pelajar perempuan), rasa macam dua tahun lah.

Selesai habis rokok sebatang, Iskandar Zulkarnain kumur bersungguh-sungguh. Sabun tangan, calit minyak attar kat baju dan kembali ke bilik sambung baca Mastika. Aku pula berjalan perlahan-lahan balik ke bilik sambil mengintai bilik pelajar-pelajar nak keluar outing mempersembahkan hafazan mereka. Mereka diadili oleh Ismail Kadir, senior yang disegani mewakili ustaz, warden asrama.

Jam pukul sembilan pagi. Aku letak Quran bawah bantal dan baring. Alang-alang tak keluar outing baik aku tidur. Baru nak lelap tiba-tiba,

“Assalamualaikum, ustaz pesan pada saya semua kena turun untuk hafazan tak kira yang mahu keluar outing atau tidak sebelum pukul 11.” Umum Ismail Kadir.

Aku terus gelabah. Aku baru lepas Alif Lam Mim je. Berbirat lagi la badan aku kena rotan macam ni.

“Ismail Kadirrrr.....” Tiba-tiba bergempita suara Iskandar Zulkarnain menyeru nama Ismail Kadir.

“Ye saya.” Jawap Ismail Kadir yang baru nak keluar bilik.

“Bagi aku separuh budak-budak. Aku tolong kau pantau hafazan mereka di dorm.” Kata Iskandar Zulkarnain sambil baring dan menghadap Mastika.

“Terima kasih sahabat.” Kata Ismail Kadir berterima kasih.

Aku lega bukan kepalang bila ada kabel macam ni. Iskandar Zulkarnain usha aku senyum sambil kenyit mata.

“Nasib baik ada abang Iskadar Zulkarnain. Kalau tidak berbirat lagi la badan saya.” Kata aku.

“Kau turun pergi buat hafazan kat Ismail Kadir.” Kata Iskandar Zulkarnain selamba.

“Eh, kenapa abang Iskandar Zulkarnain?” Soal aku minta kepastian.

“Kau kan memang tak keluar outing. Bagi la can kat budak-budak yang nak keluar tapi tak dapat hafal duduk bawah aku.” Jawap Iskandar Zulkarnain.

Maka aku pun pergi menghadap Ismail Kadir sambil berdoa ustaz tak ada. Okay. Ustaz kat sebelah Ismail Kadir je dalam bilik tempat hafazan tu. Ustaz warden asrama ni dia ada habit ajar orang mengaji sambil libas lantai. Bila salah tajwid ke apa ke dia libas lantai. Nampak macam slow. Tapi bunyi macam guruh. Tak sakit pada kulit tapi bergetar pada jiwa. Ia sangat lah psiko. Sampai turn aku.

“Bismillah...”
“Ustaz! Muhammad Nizamudddin Mazlan kena sampuk!” Tiba-tiba muncul Mutalib Uthman di muka pintu.
“Yes! You my hero!” Jerit aku dalam hati.

Semua bergegas ke tempat kejadian. Peristiwa mistik macam ni memang kerap berlaku di asrama sekolah agama. Kadang-kadang sebulan sekali. Kadang-kadang sebulan dua kali. Kalau cerita nampak hantu tu tak payah cakaplah. Hari-hari boleh dengar. Biasalah dugaan orang yang nak belajar agama. Dengar cerita setan je yang syaitan ni malas nak kacau.

Setibanya di tempat kejadian, kelihatan Muhammad Nizamuddin Mazlan berada atas pokok kelapa. Tinggi juga. Dipeluknya pokok kelapa sambil buat bunyi monyet. Di bawah pokok ada Iskandar Zulkarnain dan budak-budak hafazan dibawah naungannya. Ustaz terus mendapatkan Iskandar Zulkarnain.

“Macam mana boleh jadi macam ni Iskandar Zulkarnain?” Soal ustaz tenang sambil berpeluk tubuh.

“Saya pun tak berapa pasti ustaz. Sedang saya sibuk dengan hafazan, tiba-tiba kelihatan kelibat Muhammad Nizamuddin Mazlan berlari diluar koridor dorm. Saya pun terus mengikuti dia sampai ke sini.” Terang Iskandar Zulkarnain sambil berpeluk tubuh dan tenang juga.

Dalam pada itu, Ismail Kadir merapati pokok kelapa dan memujuk Muhammad Nizamuddin Mazlan turun. Aku dan lain-lain mengelilingi pokok kelapa tersebut. Ada diantara kami memegang Al-Quran. Termasuklah aku.

“Ismail Kadir...” Panggil ustaz lembut.

Ismail Kadir terus berhenti memujuk dan kebelakang sedikit. Ustaz mula berkumat-kamit baca sesuatu lantas menepuk pangkal batang pokok kelapa. Muhammad Nizamuddin Mazlan terus kelihatan longlai lalu rebah kebawah.

ZAASS!!!

Iskandar Zulkarnain bertindak pantas menyambut Muhammad Nizamuddin Mazlan dengan penuh bergaya. Semua yang menyaksikan kejadian itu kagum dengan tindakan refleksi Iskandar Zulkarnain. Semua tahu Iskandar Zulkarnain memang handal dalam ilmu persilatan. Tetapi inilah kali pertama kami semua dapat melihat sedikit skillnya.

“Bawa dia ke bilik hafazan. Yang lain bersurai dan boleh keluar outing. Jangan lupa tandatangan buku senarai pelajar sebelum keluar.” Perintah ustaz.

Aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan insiden ini aku dapat keluar outing. Yang mana belum sempat dengan hafazan turut memanjatkan kesyukuran.

“Muhammad Asyraan Al-Hosnainn, sini tolong angkat Muhammad Nizamuddin Mazlan ni.” Perintah Iskandar Zulkarnain tiba-tiba.

Berat mata membaca, berat lagi bahu memikul. Namun dengan jiwa yang kental, aku menurut. Aku, Iskandar Zulkarnain dan Ismail Kadir mengangkat Muhammad Nizamuddin Mazlan menuju ke bilik hafazan. Ustaz di depan dengan kedua-dua belah tangannya di belakang.

Setibanya di bilik hafazan, Muhammad Nizamuddin Mazlan dibaringkan di atas lantai. Sekali lagi ustaz kelihatan membaca sesuatu ke arah semangkuk air. Air tersebut kemudiannya disapu ke muka Muhammad Nizamuddin Mazlan. Dia mulai sedar. Aku merenung ke luar tingkap. Sayup kelihatan kelibat pelajar-pelajar lain berbaju batik siap bersongkok menuju kearah pintu keluar asrama. Ada pelajar dijemput ibubapa, ada yang terus menuju ke bus stop dan ada juga yang berduit lebih naik teksi iaitu Mutalib Uthman. Aku terbayangkan kehidupan diluar asrama. Main game, KFC, MacDonald, tengok perempuan tanpa aurat dan sebagainya.

“Muhammad Asyraan Al-Hosnainn, awak pergi ke bilik saya dapatkan nombor telefon keluarga Muhammad Nizamuddin Mazlan dalam buku senarai pelajar.” Arah ustaz menghentikan lamunan aku.


“Baiklah!” Kata aku.

Aku terus menuju ke bilik ustaz. Jadi macam seram juga bila tak ada orang. Tambah-tambah lepas lalui perkara mistik. Al-Quran masih aku genggam erat. Bilik ustaz kat asrama ni tak besar mana. Cukup sekadar satu meja dan tiga kerusi plastik. Aku terus dapatkan buku senarai pelajar. Buku senarai pelajar itu jugalah digunakan sebagai buku tandatangan pelajar keluar masuk asrama. Nampaknya minggu ini semua pelajar keluar outing. Hanya nama aku, Iskandar Zulkarnain, Ismail Kadir dan Muhammad Nizamuddin Mazlan sahaja belum ditandatangan untuk keluar outing.

Disebabkan jarang mendapat peluang bersendirian di dalam bilik ustaz, terlintas perkara jahat. Aku mengambil kesempatan yang ada mendapatkan nombor telefon Siti Balqis Zulaikha. Siti Balqis Zulaikha merupakan pelajar junior batch aku. Matanya begitu memukau, hidungnya comel cantik terletak, bibirnya ke-pink-pink-an, dagunya berlekuk dan jari-jemarinya halus sangat. Hanya itu sahajalah ciri-ciri paras rupa pelajar perempuan sekolah agama yang boleh dilihat dengan mata kasar. Yang lain-lain tertutup. Syukur alhamdulillah.

“Lamanya?”
“Opocot! celaka terkejut aku! Eh, abang Iskandar Zulkarnain.” Dengan tidak semena-mena muncul Iskandar Zulkarnain. Aku lantas buat-buat cari nama Muhammad Nizamuddin Mazlan.

“Ni ha nombornya. Jom abang Iskandar Zulkarnain.” Kata aku alih perhatian.

“Tak apa. Bapak dia dah sampai pun. Ada budak lain dah call bapak dia.” Kata Iskandar Zulkarnain.

“Oh... Abang Iskandar Zulkarnain tadi power lah. Laju je abang sam...”

“Jangan lupa plan aku pagi tadi. Jumpa kat belakang dewan makan lepas zohor nanti.” Kata Iskandar Zulkarnain memotong pujian aku.

Zohor tu aku sembahyang kat dorm je. Sunyi. Tak ada sesiapa. Iskandar Zulkarnain last aku jumpa masa di bilik ustaz. Mungkin dia survey jalan menyelinap ke asrama perempuan, atau mungkin dia lepak tandas hisap rokok, atau kemungkinan kecil dia beriktikaf di surau. Masa yang dijanjikan sudah tiba. Aku berpakaian agak gelap. Seluar track-suit dan baju hitam gambar tengkorak subuh tadi. Jantung aku mula berdegup laju. Perut pula rasa macam memulas nak terberak tapi sebenarnya tak. Ini merupakan kali kedua aku rasa benda paling jahat budak sekolah agama macam aku ni buat. Kali pertama dulu masa ponteng sembahyang Jumaat dengan Mutalib Uthman. Tapi lepas tu aku nyorok-nyorok qada sembahyang zohor sebab tak nak bagi orang tahu yang aku ponteng sembahyang Jumaat.

“Lama abang Iskandar Zulkarnain tunggu?” Soal aku sedikit terlewat.

“Baru lagi. Jom ikut aku.” Kata Iskandar Zulkarnain.

Muka Iskandar Zulkarnain seperti biasa masih tenang. Aku pula macam mawas gelabah. Iskandar Zulkarnain membawa aku menuju ke hujung tembok yang memisahkan asrama lelaki dan asrama perempuan. Di situ keadaan agak sunyi dan semak. Dipenuhi pokok-pokok pisang tua yang dah pernah berbuah.

“Kau tunggu sini. Biar aku seorang je masuk. Ingat, kalau ada benda yang mencurigakan, kau tendang pokok pisang ni bagi bunyi sekali lepas tu kau lari menyorok. Lari tu jangan bagi ada bunyi. Paham?” Arah Iskandar Zulkarnain sedikit bisik.

Aku angguk lantas berdoa.

“Ya Allah, Kau lindungilah aku dan abang Iskandar Zulkarnain dari segala musibah. Sesungguhnya kami berdua insan yang lemah.”

“Amin.” Iskandar Zulkarnain mengaminkan doa aku.

Dengan dua loncatan sepantas tiga saat, Iskandar Zulkarnain sudah pun berada di tembok sebelah. Aku ternganga. Tak dapat nak bayangkan apa lah nasib musuh ditangan Iskandar Zulkarnain ni. Hebat sangat-sangat dia ni.

“Assakamualaikum. Siti Balqis Zulaikha dah lama tunggu?” Terdengar suara Iskandar Zulkarnain disebalik tembok.

Aku terkesima. Hati aku sedikit hancur. Wanita pilihan hati rupa-rupanya sudah dimilik orang lain. Dan orang lain itu ialah Iskandar Zulkarnain. Mana mungkin aku jadi musuh atau pesaing Iskandar Zulkarnain selepas melihat aksi-aksinya tadi. Aku makin ligat pasang telinga.

“Waalaikumsalam. Baru je lagi abang Iskandar Zulkarnain.” Jawap wanita pilihan hati yang kini milik orang.

“Anak-anak sihat?” Soal Iskandar Zulkarnain.

Hah? Anak? Astagfirullahaladzim. Tersandar aku pada batang pokok pisang. Hormat aku pada Iskandar Zulkarnain pudar. Aku terus menerus pasang telinga sambil berjaga-jaga. Amanah yang dipertangungjawapkan harus diteruskan biar luka menikam jiwa.

MEOW...MEOW...
“Hehe...Asyik merengek je.” Jawap wanita pilihan hati yang kini milik orang.

“Fuh... Anak kucing rupanya...” Bisik aku dalam hati sambil menampar batang pokok pisang tanda lega.

Pokok pisang bergoyang.

“Siapa tu?!” Terdengar suara ustaz dari dewan makan.

Aku terkejut lantas teringat pesan Iskandar Zulkarnain. Aku kena bagi amaran kepada Iskandar Zulkarnain. Aku terus tendang pokok pisang kuat-kuat nak bagi bunyi. Akibat terlalu gelabah, pokok pisang yang aku tendang tumbang.  Aku lari selaju mungkin. Tiba-tiba ada tangan menarik aku ke suatu bilik.

“Abang Ismail Kadir?”

“Shhh... Senyap.” Kata Ismail kadir.

Aku akur. Kami mengintai apalah nasib Iskandar Zulkarnain. Menggunakan skill tadi, Iskandar Zulkarnain meloncat kembali ke tembok sebelah sini. Malangnya ustaz adalah ustaz Iskandar Zulkarnain dan juga merangkap guru silatnya. Iskandar Zulkarnain tertangkap. Aku berasa salah yang amat. Perbuatan tidak sengaja aku menampar pokok pisang mengundang kehadiran ustaz. Dengan rasa bertanggungjawap, aku mahu bersama-sama Iskandar Zulkarnain menjalani hukuman yang bakal ditimpa. Ya, tidak lain dan tidak bukan ialah buang sekolah mandatori. Menyedari tindakan aku mahu menyerah diri, Ismail Kadir terus menghalang.

“Saya percaya Iskandar Zulkarnain juga tidak mahu kamu tertangkap. Patuhilah arahan saya.” Kata Ismail Kadir.

.........
......
....
..
.

“Aku tunduk. Bukan sahaja aku, malah Siti Balqis Zulaikha juga tidak dipetiknya. Begitulah serba sedikit pengalaman aku bersama Iskandar Zulkarnain, legend sekolah agama kita ni.” Terang aku panjang lebar kepada junior-junior baru sambil mengusap kepala kucing.

Aku sekarang senior tahun akhir sekolah agama ini. Memandangkan aku generasi akhir yang berkesempatan berdamping dengan Iskandar Zulkarnain, maka akulah orang yang paling layak bertanggungjawap menurunkan kisah ke-legend-an Iskandar Zulkarnain kepada junior baru agar generasi akan datang sekolah agama ini terus menerus mengagumi beliau.

“Assalamualaikum, ustaz pesan pada saya semua kena turun untuk hafazan tak kira yang mahu keluar outing atau tidak sebelum pukul 11.” Umum Mutalib Uthman tiba-tiba.

“Mutalib Uthmannn.....” Bergempita suara aku menyeru nama Mutalib Uthman.

“Ye saya.” Jawap Mutalib Uthman yang baru nak keluar bilik.

“Bagi aku separuh budak-budak. Aku tolong kau pantau hafazan diorang dekat dorm.” Kata aku sambil baring dan menghadap Mastika peninggalan Iskandar Zulkarnain.

Tamat.














    






Isnin, 19 Ogos 2013

Puisi Untuk Isteri.

Seminggu macam nak mati. 
Terbaring, terdiam sakit sendi. 
Serupa denggi tapi tak pasti. 

Setia disisi Sang Isteri. 
Didodoi dimanja bagai bayi.
Senyum terukir kuatnya hati.

Ditatap wajah isteri.
Kau kan kujaga sampai mati.
Walau kakiku tidak berdiri.

Dan ini satu janji.


Rabu, 26 Jun 2013

Mereka berada disini.

Ada kanak-kanak berdiri di sini,
tangan terulur ke langit,
air mata kering di muka mereka.
Lama mereka berada disini.
Abang dikambus dikubur cetek.
Bapa hilang tanpa dikesan.
Negara buta kewujudan mereka.
Sejak mereka berada di sini.

Dan aku nampak tidak ada keberanian.
Tiada keberanian di mata kamu lagi.
Hanya kesedihan.

Rumah terbakar terus diduduki.
Bau kematian merata di udara.
Seorang wanita menangis berkata,
mereka berada di sini.
Nyalaan cahaya diudara.
Giliran keluarga lain untuk mati.
Seorang kanak-kanak ketakutan dan berkata,
mereka berada di sini.

Ada kanak-kanak berdiri di sini,
tangan terulur ke langit,
Tetapi tiada siapa yang bertanya mengapa,
mereka berada di sini.
Orang tua berlutut menerima nasib.
Isteri dan anak-anak perempuan dibunuh dan dirogol.
Satu generasi lencun dengan kebencian.
Berkata, 
mereka berada di sini.

Jumaat, 21 Jun 2013

Haih.

Aku biasa menulis guna Microsoft Word. Biasanya aku mula mahu menulis sebelum tahu mahu tulis apa. Aku buka Word then minimize. Layan YouTube, Facebook atau buat kerja. Selang berapa minit buka balik Word. Cuba dengan sebaris ayat. ‘Hujan menambah mood muram petang itu’, contohnya. Aku mula tanpa tahu apa benda isi nak sampaikan. Sejak dua menjak ni tulisan aku semua tergantung pada intro dengan sebaris ayat. Aku dah tak ada isi. Atau aku dah tak pandai menulis. Atau aku sememangnya tak pandai menulis. Tulisan sebelum ini syok sendiri. Ini babi dan membuatkan aku depress. Dan penyakit depresi semacam ini mampu membunuh minat aku perlahan-lahan. Sakit. Sakit bila kita tahu kita mampu buat tapi tak mampu. Aku sekarang hanya tahu cakap. Itu best, ini tak best. Tapi buat tak boleh. Aku depress. Aku depress. Ada ubat lain selain sepak punggung?

Khamis, 20 Jun 2013

Subuh

Kalau subuh kedengaran tabuh
semua sepi sunyi sekali
bulan seorang tertawa terang
bintang mutiara bermain cahaya
           
Terjaga aku tersentak duduk
terdengar irama panggilan jaya
naik gembira meremang roma
terlihat panji terkibar di muka

Seketika teralpa;
masuk bisik hembusan setan
meredakan darah debur gemuruh
menjatuhkan kelopak mata terbuka

Terbaring badanku tiada berkuasa
tertutup mataku berat semata
terbuka layar gelanggang angan
terulik hatiku di dalam kelam

Tetapi hatiku, hatiku kecil
tiada terlayang di awang dendang
menanggis ia bersuara seni
ibakan panji tiada terdiri.

Sabtu, 8 Jun 2013

Pandai-pandai

Izinkan aku bernasihat sedikit. Untung baca terubat sakit. Kalau diikut nafsu berbelit, segala diakal semua straight.

Topeng ego letak ditepi. Baju betul simpan dialmari. Sampai masa kena meniti. Kenalan ditepi jangan kelahi.

Yang betul, betul yang salah, salah. Kadang yang betul kena beralah. Dimana betul dimana salah. Usah ditanya kalau mahu bermegah.

Elok pandang, diam baiknya. Dari diguris hati yang lara. Benar perbetul itu mulia. Guna strategi itu caranya.

Tiada Tajuk

Cuaca panas, tiada peluang untuk hujan.
Hari yang sempurna.
Kita semua berputar di atas kaki sendiri, jauh dari hakiki.

Di bumbung pasaraya.
Kita melihat matahari terbenam dari dalam kereta, kita semua memasuki alam itu.
Dan pada ketika langit mulai gelap, awak dan saya mula merasakan sesuatu.

Dan jika ini adalah apa yang kita rasa, inilah cinta.
Saya mahu awak tahu yang kita adalah satu sinaran yang cerah.
Pagi dalam perjalanan, rakan-rakan kita semua mengucapkan selamat tinggal.
Tiada tempat lain untuk pergi, saya harap awak bersama saya sepanjang malam.

Bersama nyanyikan lagu gembira.
Campurkan soya dan cincau.
Dan walaupun anda telah keluar dari irama.
Awak telah membuka minda saya Si Cantik. Ya.
Dan saya akan menyatakan yang saya tidak akan mengucapkan selamat malam.
Tidak ada sudut yang tenang untuk mengenali antara satu sama lain.
Dan tidak perlu tergesa-gesa kerana saya orang yang penyabar.

Adakah awak nampak.
Walau berkongsi lagu pada set radio kereta yang sama.
Tetapi ia adalah sebuah lagu yang berbeza yang terperangkap dalam kepala saya.

Dan ia mulai pergi...

Khamis, 30 Mei 2013

Bawa Awak Pulang

Masalah merupakan satu-satunya kawan dia
dan kali ini ia datang lagi.
Menyebabkan rupanya lebih tua dari sepatutnya.

Dia rasa inilah masanya untuk dia pergi jauh.
Tak ada sesiapa yang boleh bersuara lagi di bandar ini.
Masalahnya, ia akan membuatkan dia terus jatuh.

"Awak kuat tapi dengan lembut awak pergi.
Saya melihat awak bernafas buat kali terakhir.
Kedengaran melodi dari jantung awak, tapi bila ia senyap,
saya tahu apa maksudnya dan akan bawa awak pulang.
Saya akan bawa awak pulang."

Kalau dia ada sayap dia akan terbang pergi.
Dan mungkin Tuhan akan berikan sepasang nanti.
Masalahnya, ia akan membuatkan dia terus jatuh.

Dan mereka semua dilahirkan cantik di Kuala Lumpur malam ini.
Dan seorang wanita kecil ditarik keluar dari dunianya malam ini.
Dibawah bintang, bulan dan jalur.

"Awak kuat tapi dengan lembut awak pergi.
Saya melihat awak bernafas buat kali terakhir.
Kedengaran melodi dari jantung awak, tapi bila ia senyap,
saya tahu apa maksudnya dan akan bawa awak pulang.
Saya akan bawa awak pulang."


Jumaat, 24 Mei 2013

Syair Gagak Hitam

merpati putih terbang melayang,
gagak hitam pandang di sarang,
hati sedih siapa nak pandang,
teriak malam memanggil siang.

dicabar merpati terbang seiring,
diendah merpati ego dijinjing,
lalu dicapai batang seruling,
mendayu lagu lalu terbaring.

apakah dosa warnaku keling,
dibilas dihadas gelap keliling,
dilihat merpati jinak berpusing,
kepangkuan helang hinggap menonggeng.

Selasa, 21 Mei 2013

cinta

aku taburkan baja cinta,
aku cabut lalang duka,
aku siram air gembira,
aku petik daun sengsara.
suburlah dan mewangi.
dan.
kalau esok tak datang,
hari ini kau ingat,
yang aku cintakan kau.
dan.
teruslah mewangi.

Jumaat, 17 Mei 2013

Bebas


Subuh yang indah - terangkan pantai untuk saya.
Tak ada apa-apa lagi yang lebih indah,
melainkan bangun dan menatap awak.
Subuh yang indah - Saya masih mengejar masa.
Terfikir saya akan mati sendiri, pada waktu malam tidak berkesudahan.
Tetapi sekarang saya bebas; berlari liar diantara semua bintang-bintang di langit.
Kadang-kadang sukar untuk mempercayai awak masih ingatkan saya...

Subuh yang indah - berasimilasi dengan bintang lagi.
Adakah awak masih ingat bila perjalanan saya bermula?
Anda awak tahu kesudahannya (masa)?
Subuh yang indah - Awak masih celarukan fikiran saya.
Terfikir saya telah dilahirkan di penghujung malam, sehingga awak bersinar.
Bebas; berlari liar diantara semua bintang-bintang di langit.
Kadang-kadang sukar untuk mempercayai awak masih ingatkan saya...

Bolehkah awak tongkatkan saya bila saya sudah kelabu dan tua?
Berjanjilah mulakan esok dengan saya,
Semakin bebas; berlari liar diantara semua bintang-bintang di langit.
Kadang-kadang sukar untuk mempercayai awak masih ingatkan saya...

Dan Tuhan, jika ini cinta, izinkan saya menyimpannya...

Sabtu, 11 Mei 2013

Lagu Untuk Awak

Apabila awak bangun,
awak pasanglah radio.
Dan awak akan mendengar lagu ini.

Lagu ini saya buat.
Ya saya buat untuk awak.

Apabila anda memandu,
awak kuatkan sedikit volume radio.
Sebab saya tak boleh menyanyi terlalu kuat hari ini.


Awak taknak sebut nama saya? 
Tolonglah... Sebut nama saya sekali...


Jika saya ada banyak masa,
kalau boleh saya nak habiskan semua untuk awak.

Setiap hari saya akan menghidupkan kembali kisah bahagia.
Itulah apa yang hati patah dapat lakukan.
Saya bosan bercakap dengan ruang kosong.
Kesunyian memaksa saya untuk berjaga.

Apabila awak berkahwin nanti,
awak lihatlah keliling.
Saya akan berada diantara orang ramai.
Hancur, dan berharap itu bukan saya.

Apabila awak sudah tua,
kenangan akan pudar.
Tetapi saya tahu saya masih akan merasakan.
Selagi saya hidup.

Adakah awak masih tidak mahu menyebut nama saya?
Tolonglah... Lagu ini sudah habis...

Hujan dan Air Mata



Bagaimana aku ingin menyerahkan jiwa?
Mencairkan kulit yang menjadi pakaian aku.
Melihat pembohong yang terbakar disaat aku memerlukan.
Bagaimana aku berharap dapat memilih kegelapan dari kesejukan?
Bagaimana aku dapat menjerit dengan kuat?
Walhal aku tidak jumpa sebarang maksud...

Aku rasa sudah tiba masanya untuk aku berjalan jauh. 
Mencari keselesaan dalam kesakitan.
Semua keseronokan adalah sama. Mengundang aku dalam masalah.
Menyembunyikan bentuk sebenar aku, seperti Hang Jebat.
Aku dengar apa yang mereka katakan, tetapi aku datang bukan untuk masalah.
Ia lebih sekadar kata-kata. 
Hanya hujan dan air mata...

Bagaimana caranya berjalan keluar dari kotak fikiran?
Sambil memegang erat memori untuk membantu memahami semua ini.
Bagaimana mahu memilih antara syurga dan neraka?
Bagaimana aku dapat menyelamatkan jiwa?
Aku dalam ketakutan.