Sabtu, 22 Disember 2012

Tukang Duit

Di pasar tadi, jalan seorang diri.
Jumpa tukang besi, besinya berkati.
Dilebur dilentur jadi apa?
Jadi duit...hoi jadi duit...

Di pekan tadi, penat lorong dijalani.
Jumpa tukang emas, emasnya boleh bikin lemas hoi.
Dilebur dilentur jadi apa?
Jadi duit...hoi jadi duit...

Tukang besi, tukang emas hatta tukang kayu, semua bikin benda sama hoi!
Bikin duit...bikin duit...bikin duit hoi bikin duit...

Jaga mesin, jaga lembu, jaga kilang...
Untuk apa? Untuk apa hoi?
Bikin duit...bikin duit...bikin duit hoi bikin duit...

Tukang tulis?
Kita semua hamba duit hoi hoi hoi!

Khamis, 22 November 2012

Untuk kita Dari Gaza


 Langit kotaraya Kuala Lumpur malam itu dihujani peluru dan bom tentera zionis. Serangan tiba-tiba tentera bacul itu mengakibatkan kemusnahan besar dan kematian orang awam yang tidak berdosa. Penduduk Kuala Lumpur lari bertempiaran. Menangis, menjerit, berdoa pertolongan yang Esa.

 Kenderaan dan senjata perang yang super power milik tentera zionis membanjiri Kuala Lumpur. Orang awam dijadikan tebusan. Tentera tempatan gagal mempersiapkan benteng pertahanan. Hanya mampu berkumpul disempadan masuk Kuala Lumpur berbincang mengatur strategi.

 “Mereka kuat. Mereka jadikan orang awam sebagai benteng dan tebusan.” Kata panglima perang tentera tempatan.

 “Jadi bagaimana?” Soal perdana menteri.

 “Kita minta pertolongan negara luar. Sudah termaktup dalam kitab suci yahudi latnatullah. Mohon negara islam lain membantu kita. Dengan izin Allah!” Jawap panglima perang berharap.

 “Ya. Walau sekecil pertolongan. Allahuakbar!” Sahut perdana menteri.

...........
.......
....
...
..
.
.

 Di Gaza ketika itu aku dan beberapa orang teman sedang asyik menikmati beger di satu restoran makanan segera terkemuka. 

Rabu, 21 November 2012

Pertahankan Jiwa Kalian!

“Wahai saudara-saudaraku di Gaza, lautan ada di belakang kalian, musuh ada di depan kalian, ke manakah kalian akan lari? Demi Allah, yang kalian miliki hanyalah kejujuran dan kesabaran. Musuh kalian telah datang dengan pasukan dan senjata mereka. Kekuatan mereka sangat besar, sementara kalian tanpa perlindungan selain pedang pedang kalian, tanpa kekuatan selain dari barang-barang yang kalian rampas dari tangan musuh kalian. Seandainya pada hari-hari mendatang kalian masih tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang berkesan, nescaya nama baik kalian akan hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh akan berganti menjadi berani kepada kalian. Oleh kerana itu Pertahankanlah jiwa kalian!!!.”

Khamis, 8 November 2012

Matahari esok

Malam malam begini, terkenangkan matahari.
Matahari jenis tidurnya mati.
Dikejut, dijerit, tidak peduli.
Khabarnya juga tidak pasti.
Mungkinkah munculnya subuh nanti?
Matahari...tolong...jagakan ku dari mimpi...

Rabu, 7 November 2012

Rahsia

Ada buah namanya rahsia. Walau dikupas isinya tetap rahsia. Rasanya? Rahsia.

Selasa, 6 November 2012

Ada tu...ada...

Ada suara, bermuka-muka
Ada lidah, jilat merata.
Ada tangan, kipas memuja.
Ada liur, ludah tak kena.
Ada cerita, tokok sebarnya.
Ada khabar, peduli-dulikan
Ada ingin, mahu lebihan.
Ada kaki, ditempang buang.
Ada hati, lebih tumpunya.
Ada lebihan, agung-agungkan.

Ada akal, pejam fikirkan.

Kahwin

Salah satu tuntutan hidup ialah kahwin bagi yang mampu. Mampu? Ada yang tak mampu before kahwin. Maksud aku dari segi kewangan. Bila dah kahwin elok je anak 3 4 orang sihat cukup makan. Percaya rezeki Tuhan bagi. Setiap orang ada rezeki masing-masing. Bila dah kahwin jadi double. Ada anak triple. Jangan takut cuba.

Tup tap tup tap tak sampai sebulan lagi aku nak bernikah. Takut. Kau akan ada tanggungjawap besar. Sebelum ni kau makan megi pun takde hal. Boleh hidup. Lepas ni takkan bini nak makan megi je? Takpelah kalau itu feberet dia. kalau tak atleast kena la bagi makan ikan, ayam, lembu or kambing. Tapi tu lah. Jangan takut. Percaya Tuhan. Banyak doa, buat benda baik, jujur, insyAllah boleh hidup. Yakin!

Ini motivasi diri. Bukan apa, dunia yang kita kejar ni bonggolnya banyak. Apa? jangan kejar dunia? Kejar akhirat? Ye...betul... Akhirat nombor satu. Tapi sekarang aku tengah cerita hal dunia. Apa? yang penting akad nikah? yang lain semua adat yang menyusahkan? membebankan? Kahkahkah. Betul... Tapi cuba kau kahwin dulu. Tengok macam mana perginya. Manusia. Keinginan. Semulajadi.

Kepada diri sendiri, halangan, dugaan yang aku dah hadap still belum berakhir. Dengar cerita lagi hebat bakal mendatang. Berbekalkan semangat waja, usaha dan doa, kita lawan. Steady Amir!




Khamis, 18 Oktober 2012

Jejantas Hati

Awal pagi.
Meniti jejantas hati.
Ditengah-tengah aku berhenti.
Dibawah sesuatu terjadi.
Perlanggaran hati dengan hati.
Satu remuk depan, satu remuk sisi.
Aku masih memerhati.
Salah satu tak hati-hati.
Aku kekal memerhati.
Mereka saling tuding jari.
Aku terus memerhati. 
Muncul lagi hati-hati. 
Kau begini dia begini kata hati-hati.
Ada yang berkesimpulan dengan kata hati.
Hati-hati lain dibelakang tak mengerti.
Menjerit dari jauh minta ketepi.
Makin panjang makin jauh perjalanan hati.
Panas hati tak mengerti.
Susah hati lewat lagi.
Peduli.
Aku sambung meniti.
Jejantas hati yang tak pasti.





Isnin, 15 Oktober 2012

Cuak

Lagi 46 hari. 46 hari sebelum jadi suami. Tahu ini bukan kerja mudah. Menggalas tanggungjawap. Aku cuba yang terbaik. InsyAllah sampai mati aku jaga. Yakin dengan aku. Walau apa pun yang datang lepas ni. Sebab salah satu rahsia kehidupan yang best ialah bersedia dengan segala kesempatan yang bakal datang. Rempuh, radak, langgar je. Biar struggle. Biar lunyai. Bila dah bersungguh-sungguh, esok mesti terkejut dengan resultnya. Sebenarnya, ini kata-kata semangat untuk aku yang tengah cuak. Pijak batu halangan jadi batu loncatan.




Jumaat, 5 Oktober 2012

Kembali Pulih

Alhamdulillah. Hari ni aku rasa makin pulih. Tak pernah lagi diuji dengan demam teruk. Terima kasih keluarga, kekasih dan kawan-kawan yang tak putus tanya khabar. Sekarang cuma tekak rasa tawar dan tak lalu nak makan. Harap esok aku sihat sepenuhnya. Amin.

Selasa, 2 Oktober 2012

Suka-suka

 Pengalaman mendewasakan. Pengalaman, mempedomankan. Tak kira la umur berapa. Cerita semalam yang bawak kita ke hari ini. Cerita esok yang kita tengah pahat sekarang. Pernah banyak kali aku tanya diri kenapa aku tak macam ni semalam, kenapa aku tak macam tu semalam. Kalau aku macam ni atau tu semalam mesti aku dah macam ini itu hari ni. Rugi. Bodoh betul. Fikir benda bodoh macam ni memang bodoh walau kita memang akan fikir benda ni. Ini lumrah manusia. Suka dengan 'kalau'. Kalau sembang pasal 'kalau' kucing pun boleh terbang. Jadi rempuh je jalan yang kita tengah lalu sekarang. Perbetul untuk hari esok. Tak salah kalau sekali sekala tengok belakang. Sebab kadang-kadang jalan kat belakang lebih kurang je dengan jalan depan. Itu la guna pengalaman. Tujuan post ini? Saja. Suka-suka.

Jangan pandang lurus sangat. Jeling sikit. Aku ada kat tepi ni.

Sabtu, 29 September 2012

Kanda Cinta Dinda



Dinda, kanda kata cinta.
Dinda, kanda kata rindu.
Dinda, ini sumpah nyata.
Dinda, minta jangan ragu.


Kanda memang begitu.
Kanda suka mengada.
Dinda jangan berbulu.
Dinda, dinda punya kanda.


Jika fantasi cinta redah apa saja,
segala yang gila kanda cuba.
Jika realiti cinta terbatas hujung nyawa,
dicapai senjata tikam jiwa.


Kerna dinda cinta kanda, 
kanda cinta dinda.

Dinda, mana yang terdaya,
kanda cuba usaha.
Dinda, minta jalan cerita,
kanda lakonkannya.


Jumaat, 28 September 2012

Teman Wanita

  Nama aku Zack. Ya, bukan nama sebenar. Nama dalam industri. Atau nama glamer. Sejak menjuarai pertandingan nyanyian 10 tahun lepas, hidup aku terus berubah. Duit masuk tak kira awal bulan, tengah atau hujung. Sentiasa ada. Masuk macam arus yang deras. Dia punya melimpah melahirkan kereta mewah, kondo mewah, pakaian, perhiasan mewah. Pendek kata hidup aku mewah gila babi. Apa aku nak macam petik jari je terus boleh dapat. Belum cerita pasal teman wanita lagi. Haa...begini ceritanya.

 Hidup sebagai selebriti ni ada juga yang susah. Salah satunya dalam memilih teman wanita. Ramai yang cuba memikat aku. Dan ramai juga yang aku berkenan. Tapi tu lah. Aku macam keliru dengan niat wanita yang mendekati aku. Yelah kan. Ada rupa, bakat dan duit yang banyak. Sebenarnya apa yang wanita-wanita ni tertarik pada aku? Aku pasti sebab rupa. Yang lain-lain tu nombor dua, tiga. 

 Suatu hari tu aku ada show di Pulau Pinang. Ya, kampung aku. Aku macam susah hati pada mulanya. Bila show di kampung sendiri ni, aku tak boleh nak sombong-sombong. Nak kena betul-betul layan semua orang. Takut dilabel tak sedar diri, lupa daratan bagai. Lagi pun, sejak jadi artis ni aku dah lama tak balik kampung. Sibuk. Aku mulakan show dengan memuji-muji Pulau Pinang. Loghat aku pun terus pekat je aku tukar. Bagi nampak darah Pulau Pinang yang sejati. Aku selang-selikan persembahan dengan memuji Pulau Pinang. Penonton terhibur. 

 Selesai persembahan, aku disediakan meja khas untuk melayan peminat, beri tandatangan. Ramai yang beratur. Penat senyum, berpura ramah. Akibat terlalu ramai, aku mulalah tidak memandang peminat. Aku fokuskan pada salam dan tandatangan. Setelah hampir sejam, tiba-tiba, 

 "Zaki, lama mak beratuq nak jumpa Zaki. Pandang la mak sat..." 

Rabu, 19 September 2012

Ulasan suka-suka Novella Arsonist Jalan Labrooy.



 Bila dapat tahu Riduan A.Dullah mahu bikin buku, aku dah dapat agak tulisan dia mesti garang. Bertajukkan ‘Arsonist Jalan Labrooy’ dan muka depan warna jingga. Konpem garang. Terima buku dari bos Rabak-Lit sendiri, lantas ke lokasi penulis untuk tanda tangan. Sampai rumah terus mula baca tanpa henti sampai habis. Sebab susun cerita sangat best. Tak boleh berhenti.

 Berkisahkan seorang lelaki, Comas, lalui liku-liku hidup yang sangat barai bersama adiknya Sola. Bukan biasa-biasa punya barai. Lain macam. Sedih. Jalan dia. Terpaksa atau memilih hanya penulis dan Comas saja yang ada jawapan. Novella ni pada aku langsung tak ada yang gembira. Part Comas dan Sola usik-mengusik bergurau pun aku rasa sedih. Mood novella ni, sedih, geram, lucu yang sedih, persoalan, sedih, geram, sedih, persoalan. Dan saat baca buku ni, jujur cakap aku rasa macam bukan tengah baca. Rasa macam tengah tengok cerita berlatar belakangkan suara Comas bercerita. Damn! Kenapa kena macam ni takdir Comas Wan? Kenapa tulis takdir Comas macam ni? Hang tak kesian ke kat dia? Hang memang tak boleh jadi Tuhan.

 Masa aku terima buku ni dari bos Rabak-Lit, aku cakap boleh filemkan tak? Lepas baca, aku rasa kena. Cuba weh. Dan entah kenapa aku terbayang je muka hang Wan. Dari mula aku baca sampai habis. Kalau mahu difilemkan memang hang je boleh pegang watak Comas. Wan, aku tabik! Aku tabik! Tabik! Tabik! Tabik! Tabik! Tabik! Tabik! Tabik! Tabik! Tabik! Oh ya, jangan tendang Mewmew!

Kepada kenalan yang mahu selami perasaan Comas, bolehlah ke facebook 'Arsonist Jalan Labrooy'. Disitu ada cara mahu beli. Atau rasa susah, minta aku tolong.





Rabu, 12 September 2012

Bunga-bunga Ramona.

Bila bunga bukan sekuntum, 
kumbang jadi rambang mata. 
Kerana terbangnya merata. 

Awas bunga sekuntum. 

Madumu semerbak harum.
Ramai lalu dan cium.

Kumbang juga banyak ekornya.

Kalau semuanya ke sekuntum,
lunyai habis madu bunganya.

Dibalik bunga-bunga menguntum,

kumbang-kumbang berlaga berdetum.
Bunga-bunga terus tersenyum?



Jumaat, 7 September 2012

Ulasan Suka-Suka Untuk Teater Kawan-Kawan Yang Kita Suka

 Ini first time aku layan teater. Sebelum ni aku dah cuba, tapi tak berkesempatan. Dan first time untuk teater Kawan-Kawan Yang Kita Suka (KKYKS) ni akan buat proses layan teater aku ni bukan untuk last time. Sepatutnya aku tengok teater ni masa hari pertama penayangan. Aku dah book kat no phone AJUNE di page KKYKS di facebook awal-awal. Tapi disebabkan jalan ke Dewan Bahasa & Pustaka sangat rumit untuk aku yang buta jalan Kolumpo ni, aku sesat sampai pukul 9. Jadi aku capai phone dan SMS si ARJUNE minta tunda ke tarikh harini.



 Cerita ni merungkai sifat lumrah yang ada pada setiap kawan baik. Ya. Sifat lumrah MAJORITI kawan-kawan yang kita suka dalam sedar atau tidak disamping diselitkan isu-isu negara. Kalau mahu cerita semua mesti la tak boleh kan. Sinopsis boleh baca kat event page di facebook. Mungkin sebab aku first time tengok teater aku terlebih cakap cerita ni power. Tapi aku ni jenis memilih juga. Tak rugi harga tiket tu. Masa pun tak rugi. Serius berbaloi. Dan aku sangat rekemen teater ni untuk di tonton. Ada lagi beberapa hari penayangan teater ni. Jadi pada yang teragak-agak, jangan. Pergi event page Kawan-Kawan Yang Kita Suka di facebook dan tempah. Ye sekarang. 

Kepada tuan pengarah Fasyali Fadzly, barisan pelakon Anas Ridzuan, Fazleena Hishamuddin, Ameera Ramli, Karl Shafek dan seluruh krew produksi, TAHNIAH!!!

Khamis, 6 September 2012

Kawan


Sebenarnya dah lama aku perasan kewujudan kawan-kawan aku. Dari kecik. Tapi entah kenapa kita belum jadi kawan. Mula rapat lepas habis sekolah. Padahal majoriti pernah satu sekolah. Mungkin ada yang dah mula rapat masa sekolah. Dalam masa beberapa tahun kita jadi rapat gila. Sampai jarang miss jumpa walau sehari. Dari teman melepak warung malam-malam, layan wayang, poyo-poyo main muzik. Gila babi best moment tu. Ada je benda nak buat. Sampai la masing-masing bawa haluan kejar kerjaya. Dari pegawai kerajaan, swasta, bisnes sendiri, sampai la pemusing dunia naik basikal. Power power. 

Semua tak jangka masing-masing boleh ke arah itu. Biasa la cita-cita memang jarang-jarang dapat capai. Serius benda lepas memang sangat seronok. Sebab tu ada istilah kenangan. Kalau benda lepas boleh come back dah takda la bestnya benda lepas tu ye dak? Yang manis yang pahit, gelak, gaduh sikit-sikit tu biasa la. Jangan simpan dalam hati. Kita kawan. Ada masalah boleh curah kat telinga kawan. Serius. Kalau tak boleh solve pun akan lega.


Sekarang semua dah pakat kawen. Yang dah ada anak pun ada. Marilah kita berharap hubungan kita semua still erat macam dulu. Sebab kawan kawan yang ni la kita nak cerita kat anak-anak nanti. Beb, hangpa semua best. Jauh dah aku jalan aku still cari hangpa.  

Rabu, 5 September 2012

Kata Hati

ketua jangan makan hati
hamba cuma tak mengerti
terpaku melihat kendiri
yang tewas dibumi sendiri

bukan pandai nak mengata
Cuma kata yang ternyata
terhidang semua depan mata
tentang noda dibumi semesta

berbaliklah pada nurani
yang terdetik kala sunyi
bertanyalah pada hati
tentang kasih pada Ilahi

dibalik awan ada langit
dibalik langit kau mengungkit
janganlah, kelak rasa sakit
hukum langit memang sangat perit



Isnin, 27 Ogos 2012

Mak Nak Duit Raya

 20 Ramadhan. 3 pagi. Sunyi. Bunyi cengkerik pun tak ada. Yang kedengaran hanya bunyi mesin jahit mak.

 Kreuk kreek kreuk kreek.

 Ayah mengeluh.

 "Dah uzur sangat mesin jahit mak. Kena beli baru. Tak pun bubuh minyak. Bagi lincir sikit. Kan ayah?" soal aku pada ayah.

 Ayah senyap. Pura-pura tidur. Aku tahu. Sepatutnya tidur ayah dengan dengkuran. Aku bangun ke bilik menjahit mak. Mak nampak tekun. Yelah. Apa lagi yang boleh buat semasa menjahit. Kena fokus. Habis kuat pun dengar radio. Tapi pagi tu mak tak pasang radio. Lain dari biasa.

 "Mak?" panggil aku. Mak toleh . Kemudian sambung menjahit.

 Kreuk kreek kreuk kreek.

 "Kenapa bangun?" soal mak.

 Kreuk kreek kreuk kreek.

 "Mesin mak bunyi kuat sangat. Pian terjaga. Mak nak Pian ambilkan minyak gris?" jawap aku bersambung soalan. Mak senyum.

 "Dah bubuh minyak. Tapi bunyi jugak. Ayah kau terjaga ke?" soal mak.

 "Ayah tutup kepala dengan bantal. Macam terjaga. Kenapa tak pasang radio?" soal aku kembali.

 "Banyak sangat lagu raya. Baju, langsir apa semua banyak lagi tak siap." Jawap mak.

 Mak sambung menjahit. Perbualan kami terhenti. Aku kembali baring sebelah ayah. Keadaan kembali seperti tadi. Sunyi. Masih tak ada bunyi cengkerik. Pejam mata. Tutup kepala dengan bantal. Sayup-sayup kedengaran bunyi mesin jahit mak.

 Kreuk kreek kreuk kreek.

Jumaat, 24 Ogos 2012

Parkour De Politikus

 Freddy Belle pengamal seni bela diri  parkour. Diwarisi daripada datuknya David Belle yang berasal dari Perancis. Sejak kecil, Fred kerap menggunakan skil parkour yang diwarisinya melompat kesana kemari tidak kira atas apa tujuan sekali pun. Dijadikan skil parkour itu sebagai cara bergerak utama selain dari berjalan secara normal. Bukan menunjuk-nunjuk tetapi sudah biasa.

 Nak dijadikan cerita, pada suatu hari yang tenang, di pondok usang datuknya, tiba-tiba siaran tv terganggu dengan kemunculan isteri perdana menteri mengumumkan sesuatu.

 "Saya Rebecca Monalisa dengan ini mengumumkan pada sesiapa yang dapat menyelamatkan suami saya yang baru sahaja diculik sebentar tadi, saya menjanjikan sesuatu yang lumayan." Umum isteri perdana menteri dengan riak wajah angkuh. Entah kenapa perlu begitu mengumumkan sesuatu yang agak sedih.
 "Untuk nampak lebih menarik, sesiapa yang mahu terlibat, hendaklah secara berkumpulan. Dan kamu hendaklah bersaing sesama kamu untuk mendapatkan ganjaran dari saya selain dapat berbakti kepada negara menyelamatkan suami saya. The game begin!" Sambung isteri perdana menteri.

 Negara jadi kecoh sejurus pengumuman tersebut. Berita baik atau buruk bercampur aduk. Yang mana mementingkan ganjaran terus berangan hebat. Yang cuak tentang nasib negara lantas berdoa perbaharui status. Fred jenis sayangkan negara. Tidak langsung peduli tentang ganjaran. Kerana hidup susah yatim piatunya sudah sebati dalam diri. Lagipun janji yang ditepati juga banyak dalam tv. Biasa sahaja. Fred lantas berjumpa datuknya minta restu dan nasihat.

 "Hmm... Kau benar mahu terlibat?" Soal David.
 "Ya. Lagi pun sia-sia lah ilmu yang datuk turunkan ini kalau saya hanya diam dirumah melihat nasib negara kita dibuai hebat. Ini tanggungjawap. Ini juga kewajiban saya sebagai rakyat." Terang Fred panjang lebar.
 "Baiklah. Aku izinkan. Tapi ingat, kau hendaklah bersaing dengan cara baik. Hindarilah tipu helah. Aku percaya bukan ganjaran yang kau harapkan. Tapi nasib negara...kan?" Nasihat David diikuti soalan minta kepastian.
 "Err...mestilah!" Jawap Fred tegas.

 Maka pergi lah Fred ke Tumb Born tempat dimana kumpulan-kumpulan kecil dibentuk. Daripada kumpulan-kumpulan kecil tersebut, mereka kemudian diminta bertanding ke peringkat lebih tinggi di Pair Rock. Seterusnya ke peringkat lebih tinggi di Kota Jaya dimana musuh utama yang perlu ditentangi yang menculik perdana menteri. Disitu kumpulan yang paling hebat dan terbaik sahaja yang tinggal. Yang mana yang sayangkan negara terus bersatu membentuk kumpulan yang besar. Dan yang mana tamakkan ganjaran terus menggunakan ilmu parkour melompat keluar kumpulan membentuk kumpulan kecil agar ganjaran yang bakal diterima dibahagi dengan jumlah yang lebih besar.

 Fred berada didalam kumpulan yang ahlinya sayangkan negara dan juga mahukan ganjaran. Ya, agak sukar memilih kumpulan yang ikhlas. Sukar. Jadi ini kumpulan yang terbaik. Apa mahu buat katanya. Masalah dalaman jangan dikira. Ada yang berparkour sesama sendiri dalam diam. Sehinggalah satu kumpulan besar yang dibentuk ke Kota Jaya terbentuk pula puak-puak kecil didalamnya kerana perbezaan pendapat. Mereka bertempur dengan musuh dalam masa yang sama menyiku puak-puak lain yang terbentuk didalam kumpulan tersebut.

 Akhirnya setelah 5 tahun bertempur hebat, mereka berjaya menyelamatkan perdana menteri daripada penculik yang sebenarnya merupakan isteri beliau sendiri iaitu  Rebecca Monalisa. Rebecca Monalisa telah memecah belahkan negara dengan ideologi jahat memanipulasikan penculikan perdana menteri dalam komplotnya mahukan harta negara yang tak seberapa. Maka negara kini ditakbir oleh kumpulan besar yang berpuak-puak dengan niat tersendiri. Fred kekal di dalam kumpulan tersebut sehingga kini. Menunggu masa berparkour ke kumpulan lain. Tamat.


Hmm...jauh tersasar cerita asal aku ni. Cerita yang diadaptasi dari mimpi parkour membawa ke nasib negara.

Jumaat, 20 Julai 2012

Ramadhan 2012.

Aku rasa macam bertahun-tahun tak balik taman. Rasa lain sangat. Keluarga aku antara yang terawal bermastautin kat taman ni. Seawal umur aku enam tahun. Sekarang umur aku 26 tahun. Ya semua pandai kira. Sudah 20 tahun. Ketika itu semua pakcik-pakcik taman aku muda-muda belaka. Tadi masa tunggu isyak dan terawih, aku perati je muka pakcik-pakcik yang aku cakap muda tadi. Dah tua sangat rupanya. Budak-budak, makwe-makwe, yang aku tak pernah tengok entah datang dari mana pun ramai tadi. Mungkin zaman aku lepak taman dulu mereka-mereka ni masih isap susu. Mungkin. Dan tadi aku tak jumpa seorang pun teman-teman lapisan aku. Ya. Ramai yang dah merantau. Taman aku dah jadi kampung. Sama macam kampung arwah tokwan kat kedah dan penang. Balik bila syawal tiba.

Selasa, 10 Julai 2012

Empat Patah Tiga Suku Dua Perenggan Satu Jawapan.


Terketar semesta berpada berjaga.
Terkemut terkujur berkudis merata.
Tercari menanti jawapan pendita.
Mengapa sengsara ketika dewasa.

Terkadang terlalut mencari cahaya.
Terletak dimana laluan utama.
Terfikir rahsia Yang Maha Pencipta.
Bayangan sendiri harusnya dirupa.

Jumaat, 6 Julai 2012

Ulasan Bisik Fixi

 Aku beli buku ni di Pesta Buku Selangor haritu. Tak ada rekemen dari siapa2. Tertarik untuk beli sebab sedang cari buku2 jenis seram, mistik dan fiksyen barangkali. Terpandanglah buku Bisik ni dengan cover kucing. Tajuknya 'Bisik' dan cover seekor kucing kehitaman membuatkan tafsiran awal aku buku ni mungkin ada elemen hantu dan seram terkejut bagai.

 Pada permulaan cerita, aku memang yakin cerita ni cerita hantu. Pasal rumah mistik. Kisah watak utama, Mikael dikacau hantu rumah sewa yang baru didiaminya. Lama juga aku yakin dengan teori aku tu. Sampailah aku dapat tangkap sebenarnya Mikael ni sebenarnya...ha...tak boleh nak cerita sangat. Tak sedap la kalau yang belum baca dapat tahu. Aku pun dah nak abis baru tahu apa yang sebenarnya.

 Cerita ini juga diselitkan dengan flashback dan kisah pembunuhan yang agak menarik. Juga watak2 pembantu yang mempunyai karekter mantap. Penulisannya juga teliti. Penulis berjaya memaparkan sesuatu tempat dengan penuh terperinci. Banyak buat pemerhatian disamping pengalaman sebenar barangkali.

 Serius cakap aku rekemen buku ni untuk dibaca. Dan aku juga yakin novel ni kalau dicerekaramakan boleh meletup dan jadi trending sepanjang hari di twitter. Dapat pula sentuhan pengarah jenis2 Erma Fatimah. Pehh.. Tak perlu difilemkan. Cerekarama sudah. Padu!

Selasa, 3 Julai 2012

Cerita Seram Drastik.


Malam itu angin kuat. Tingkap kayu berhempas-hempas. Suasana seram malam ditambah efek guruh berdetum-detum. Berbekalkan cahaya pelita minyak tanah, Michael, William dan Stephen berjalan perlahan-lahan mendekati rumah usang dihujung kampung yang dikatakan berpuaka.
 “Kenapa tak guna torchlight?” Tanya William pelik. Stephen angguk tanda soalan yang sama juga bermain dimindanya.
 “Tak seram sangat kalau pakai torchlight.” Jawap Michael selamba.


 Auuuuuuuuuu!....... Uuuuu!...uuuuu!... Dengan tiba-tiba bunyi serigala dan burung hantu bersatu padu menjayakan efek seram. Tidak cukup dengan itu, sekali-sekala bunyi benda gerak-gerak disemak juga menjadi penambah efek seram.

 Mereka bertiga kini betul-betul berada dibawah tingkap kayu yang berhempas-hempas tadi. Kali ini tingkap tersebut tertutup rapi. EEeeeekkkkkkk! Tiba-tiba tingkap tersebut terbuka pula diringi bunyi engsel karat. Mereka bertiga terkejut bukan kepalang. Lampu minyak tanah terjatuh. Api dari lampu minyak tanah menyambar lalang ditepi rumah puaka. Api dari lalang pula dengan pantas merebak ke dinding papan rumah puaka.

 “Tolong! tolong!” Kedengaran jeritan dari dalam rumah puaka.
 Michael, William dan Stephen tidak mampu membuat apa-apa. Mereka tidak mempunyai kepakaran menyelamat. Mereka hanya mampu melihat rumah puaka hangus dimakan api bersama-sama puaka yang menjerit minta pertolongan.

 Tamat cerita seram.

Selasa, 26 Jun 2012

Tarikh itu penting

"Hari ni hari apa?" Soal Peah.
"Selasa." Gua jawap.
"Selasa hari apa?" Soal Peah lagi.
"Tuesday." Jawap gua yakin.
"Tula laki apa pun tak ingat." Kata Peah tiba-tiba.
Gua belek tarikh 26/6 ni. Ada apa ye? Hmm...Alamak, tarikh gua tunang!

"Blah la lu...blah." Kata Peah.



Selamat ulang tahun pertunangan beb!

Sabtu, 16 Jun 2012

Selamat Hari Bapa, Polis.


 Abah aku polis. Abah menyara aku sekeluarga dengan keadaan yang serba sederhana. Tak mewah. Sumpah tak mewah. Masa kecil bila orang tanya abah aku kerja apa, aku bangga gila jawap polis. Sampai bila aku ada gaduh dengan orang dulu pun, orang yang gaduh dengan aku tu sound aku “ingat aku takut ke bapak hang polis?” betapa powernya pekerjaan abah aku sampai perlu dia mention kerja bapak aku nak takutkan aku. Bapak orang yang aku gaduh tu driver je. Lagi la langsung aku tak takut.

 Sekarang, ramai orang benci polis. Polis anjing kerajaan kata mereka. Makan rasuah. Polis corrupt. Sedih. Aku kenal abah aku macam mana. Aku membesar dengan keluarga polis. Ya, ada polis jahat pernah cuba nak pau aku. Macam ni lah. Juga ada pak lebai yang merogol. Manusia ada baik ada jahat.

 Aku tak buat research pun lagi sambutan hari bapa salah ke apa ke. Peduli apa aku selagi niat aku bukan nak sembah salib ke apa ke. Niat aku direct nak hargai abah aku. Tak ada simpang-simpang.

Mungkin abah aku tak baca pun apa yang aku taip ni. Tapi tu lah. Hanya nak bercerita. Aku anak polis dan sampai sekarang aku bangga berketurunan polis. Selamat hari bapa abah. Terima kasih sangat-sangat. Hanya Allah swt mampu membalas jasa abah pada Amir sekeluarga dan negara. Peduli apa orang nak kata asalkan kita tahu apa yang kita buat.

Bomba pun padamkan api rumah orang jahat.

Malam Isnin

Pada suatu hari dulu, ketika aku, Manot, An, Husin dan Jack sedang melepak-lepak, tetibe datang Azim dengan sebuah tulisan. Ketika itu kami tengah beria-beria mahu bikin sebuah kugiran. Pengaruh satu anime berjudul Beck Mongolian Chop Squard. Maka terhasilah sebuah lagu berjudul Monday Nite. Dah lama dah. Ada la dalam tahun 2008 mungkin. Ketika itu lagu ni hanya dimainkan ketika sesi jamming. Dah bermacam-macam versi. Sampailah awal tahun lepas. Lagu ini dimainkan disebuah gig anjuran kenalan kami Brayok dan Badsmell. Selang beberapa bulan kemudian selepas gig, Jack dan Eju mengemukan idea mahu merekod lagu ini dengan cara lebih profesional. Maka pergi la mereka berdua ke home studio sorang lagi kenalan kami bernama Yazid. Akhir sekali datang lah aku untuk merakam suara. Begitulah hendaknya serba sedikit cerita tentang lagu ala-ala pop punk ni. Persilalah dengar. Tamat.

Khamis, 14 Jun 2012

25 minit


 Aku termenung, berfikir tentang dia. Dan setelah beberapa lama kemudian, akhirnya aku yakin dengan keputusan aku. Dialah wanita itu. Dan aku mahukan dia jadi milik aku.

 Aku lantas mencarinya merata-rata. Sedaya upaya tuk menyatakan aku cinta padanya. Dan aku minta maaf untuk apa-apa salah yang pernah aku lakukan.

 Aku jumpa dia di sebuah taman. Satu-satunya tempat di bandar dimana  aku tidak mencari. Dia kelihatan agak gembira dengan gaun pengantin. Dan tiba-tiba dia menangis sambil menyatakan kepadaku,

 “Saya rindukan ciuman awak setiap masa. Tetapi awak lewat 25 minit. Saya sudah pun menjadi milik orang lain. Cerita kita terhenti disini, saya minta maaf. Awak terlewat 25 minit.”

 Aku kembali melawan angin. Cuba mengembalikan masa ketika aku dan dia adalah lebih dari seorang kawan. Tetapi aku masih melihat dia ditaman. Kelihatan gembira dengan gaun pengantin.

 Di suatu tempat, dimana hati-hati lapar gagal mencari makanan. Aku masih boleh mendengar suaranya. Aku terlewat 25 minit.


Sabtu, 9 Jun 2012

Bosan


Bunyi dengkur Rooney sekali sekala memecah kesunyian malam Remy. Menjengkelkan. Dihirup teh O bujang panasnya perlahan-lahan. Hanya teh O juadah Remy lewat jam 3 pagi ni. Biskut pencicah habis dikerjakan Rooney si gemuk teman rumahnya.

 “Agghhh...tak boleh tidur, tak tahu buat apa, lapar!!!” Jerit Remy tiba-tiba.

 Remy keluar mengintai Rooney terbungkam di ruang tamu. Terlintas perkara jahat hilangkan bosan.

 Diambil pisau di dapur lalu ditikam Rooney bertubi-tubi sampai mati. Perut Rooney dibedah. Isi perut Rooney dijamah bersama teh O panasnya yang kini suam. Tamat.

Khamis, 17 Mei 2012

Perang

Andai kata suatu hari nanti tiba-tiba muncul seorang Agung yang samseng. Yang berani tanpa mendengar telunjuk mana-mana menteri. Baginda dengan bergayanya mengarah tentera-tentera negara merampas kuasa kerajaan yang ketika itu perdana menterinya ketua pembangkang pada masa kini. Ketika itu negara kucar kacir. Polis jadi tak tentu arah. Mahu ikut arahan raja atau kerajaan pembayar gaji atau rakyat punca gaji. Maka berperanglah polis dan tentera. Meletup sana dan sini. Yang kaya terus pergi bercuti ke luar negara. Tidak kurang juga mengambil keputusan menjadi penduduk tetap negara luar. Yang miskin sibuk mengelak peluru. Amerika pula mengambil peluang campur tangan. Dan aku dan kenalan-kenalan lain ketika itu sibuk update status di facebook.

Khamis, 29 Mac 2012

Dongeng Bukit Teraju


si ratu bukit teraju
gerak geri sundalmu memancar di awan biru
bagai terpana sang perkasa bermata satu
lalu dihantar pengikut mengelilingimu

alam raja bukit teraju bergema gempita
pabila tanahnya porak poranda
kisah ratunya dicanang serata
mahu dihukum ratunya menderhaka

sakti ratunya gugup jantungnya
dipujuk dirayu hilang dosanya
pejam dikucup dahi ratunya
ratunya bebas senyum bermuka

si mata satu selam dasarnya
mencari nikmat yang tak terhingga
peluang terhidang usah dipersia
raja bukit teraju teruk teraniaya

kesudahan cerita sampai bila
bila takdir penentu segalanya
mengharap kuasa yang lebih kuasa
mengsuci kotoran yang berleluasa

Sabtu, 17 Mac 2012

Kata-kata

Ini cerita tentang takdir,
bertemu dan berpisah,
bercumbu lalu pasrah.
Walau jauh dimata,
terasa ada.
Walau dekat dimata,
kelu tak terkata.
Walau apa menjadi perantara,
kau dan aku pernah sejiwa.

Sabtu, 10 Mac 2012

Lagu

 Dulu, dah lama dulu, aku selalu dengar radio. Menanti radio memutar lagu dengan random. Tengah sedih lagu gembira dia kasi, bila gembira lagu sedih dia kasi. Tak kisah. Tetap sing along. Nak tunggu lagu datang ikut mood memang nasib. Lagi pun masa itu kalau sedih pun tak adalah sedih sangat sebenarnya. Contoh sedih macam mak taknak beli mainan. Atau tiba-tiba mak nak marah sebab period. Aku rasa la. 

 Sekarang, aku tengah sedih. Aku youtube lagu gembira. Masih tak ikut mood.

Rabu, 8 Februari 2012

Kenalan

Kenalan,
sepanjang pengenalan,
benarkah tiada apa-apa yang terkilan,
benarkah tiada apa-apa perselisihan,
benarkah ia sekadar perasaan?

Kenalan,
selama kamu disisi,
langsung tak berniat memusuhi,
langsung tak bermaksud menyakiti,
langsung mahu merapati.

Kenalan,
senyum sukamu aku gembira,
tawa dukamu aku sengsara,
andai nyawaku pengubat derita,
cabut ambillah buat pelita.



Kenalan,
andai kata pertemuan kita terakhir nanti,
mohon janganlah ditangisi,
mohon namaku tidak dicaci,
mohon diisi dengan doa merahmati.

Kenalan,
mohon maafi segala peribadi.

Malam Bulan Dipagar Bintang

Sempena bulan yang cantik semalam, aku dan teman-teman rumah terpanggil tuk merecord lagu ini.

Sabtu, 4 Februari 2012

Kadir, pelacur dan dot dot dot

 Kadir memperlahankan langkahnya. Meninjau kalau-kalau ada yang berkenan.
 “Bos, ini China mari. Baru sampai. Pilih-pilih.” Kata seorang apek separuh umur.
 “Tengok-tengok dulu.” Jawap Kadir ayat biasa window shopping.
 Kadir terus meniti lorong gelap pasar manusia. Berdebar didada, kecut diperut. Biasalah kalau buat benda tak betul, perut memulas semacam nak berak.
 Di hujung lorong terlihat satu susuk tanpa layanan. Kelihatan samar-samar. Mungkin tak cantik macam yang lain-lain. Mungkin juga dah tua. Keinginan Kadir yang sekadar mahu cuci mata memaksa dia terus berjalan hingga ke hujung. Ya. Sudah tua. Padan la dihujung terletaknya.
 “Taiko ini murah sikit. Kalau lu lower budjet kasi angkat la. Power lagi ma...” Muncul suara tiba-tiba dari belakang.
 Apek yang tadi. Diikutnya Kadir tanpa disedari. Dari ‘bos’ hingga ke ‘taiko’ gelaran diberi. Barangkali pesara jurujual. Terlalu mengambil hati.
 Kadir hanya tersenyum. Dia tekad dengan niat cuci matanya. Alang-alang dosa bukan penyelesaian tuk diturut kata syaitan.
 “Apa macam bos? Mau ka?” Soal apek. kali ini agak memaksa.
 “Tarak cantik la apek.” Jawap Kadir menolak.
 “Haiya, bukan mau cinta-cinta ma. Pancut-pancut suda ma..” Kata apek memujuk.
 Kadir jadi lemah. Iman tak kuat disogokkan syaitan. Tapi berdilema dihadapan pelacur tua mamang tak patut. Kalau benar mahu kenapa bukan yang bergetah? Tanduk dikepala semakin jelas kelihatan.
 “Apek, yang China mari berapa ringgit?” Soal Kadir. Tersenyum apek. Dia berjaya.
 “Haha... Gua kasi offer sama lu. 80 ringgit.” Jawap apek bersungguh.
 “Kamu Kadir anak Rozita kan?” Tiba-tiba pelacur tua bersuara.
 Kadir tergamam. Identitinya diketahui.
 “Err...iya...” Jawap Kadir tergagap. Dia benar-benar tak sangka pelacur tua ni kenalan ibunya. Rasa bersalah mula menular.
 “Maaf, makcik bukanlah tak cantik macam saya cakap tadi. Cuma bukan selera saya. Tapi... Apek, saya mahu yang ini.” Kata Kadir sambil menarik tangan pelacur tua pergi.
 Apek ternganga.


Jumaat, 27 Januari 2012

Setahun yang lepas

Setahun yang lepas, aku melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti Projek Rabak. Dan sekarang usia Projek Rabak dah setahun. Dan ia sudah menjadi semakin besar. Bermacam-macam cerita. Bermacam-macam liku.

Isnin, 9 Januari 2012

Fantasi Dirimu



Lagu ni dah lama. Dan aku akan nyanyikan disatu majlis 28hb Januari ini.

Khamis, 5 Januari 2012

True Love Waits

I'll drown my beliefs
to have your babys
I'll dress like your aunt
and wash your swollen feet

just dont leave, dont leave...

I'm not living
I'm just killing time
Your tiny hands
your crazy kitten smile

just dont leave, dont leave...

and true love waits
in haunted attics
and true love lives 
on lollipops and crisps

just dont leave, dont leave...
dont leave, dont leave...

-Radiohead

Ahad, 1 Januari 2012

Selamat tahun 2012

Aku meraikan malam tahun baru bersama tunang dan sahabat. Dan sesungguhnya aku mahu meraikannya dengan semua orang yang aku sayang. Sumpah tak tipu.